Thursday 17 March 2011

Artikel 9 : Pembuatan Keputusan Partisipatif Di Sekolah


Pembuatan Keputusan Partisipatif & Amalan Di Sekolah - Satu Tinjauan Literatur

Azman bin Adnan 
Pengetua
SMK Bandar Putra

Pendahuluan

Satu hal yang tidak kurang pentingnya dalam pengurusan organisasi di sekolah ialah membuat keputusan. Sama ada kita menyusun matlamat, merancang bagaimana hendak mencapainya, atau menangani isu-isu yang timbul dalam mengelola dan melaksanakan aktiviti-aktiviti harian, ia bergantung kepada keupayaan kita untuk membuat keputusan. Membuat keputusan boleh menjadi satu proses yang menyakitkan kerana ia melibatkan perubahan, konflik, risiko membuat kesilapan dan menerima akibat daripadanya, dan terpaksa menangani kebanjiran fakta dan alternatif yang harus dipilih secara bijaksana. Justeru, ramai orang yang sanggup dan rela membuat apa sahaja asalkan tidak diminta membuat keputusan.

Begitu juga dalam pengurusan sekolah, membuat keputusan merupakan antara tugas utama  pengetua sebagai pentadbir. Setiap pengetua yang berkesan mestilah berkeupayaan membuat keputusan yang dapat membantu organisasi mencapai matlamat dan pada masa yang sama dapat memuaskan keperluan-keperluan ahli-ahli dalam organisasi. Isu yang timbul ialah sejauhmanakah keputusan yang dibuat oleh pengurus atau pengetua di sekolah merupakan keputusan yang efektif. Dalam hal tertentu, banyak keputusan di sekolah dikatakan hanya ditentukan oleh pengetua secara autokratik tanpa melibatkan pandangan subordinatnya. Justeru, penulisan ini akan  membincangkan tentang konsep pembuatan keputusan secara umum dan seterusnya melihat pembuatan keputusan secara partisipatif sebagai satu pendekatan yang boleh dilaksanakan dalam pengurusan sekolah dengan merujuk  kepada kajian-kajian yang pemah dijalankan mengenainya.

Konsep Pembuatan Keputusan (Decision Making)

Dalam teori pengurusan moden, pembuatan keputusan merupakan komponen yang memainkan peranan penting ke arah keberkesanan dan kejayaan sebuah organisasi. Mengikut Robiah Sidin (1988) pembuatan keputusan itu ialah proses berfikir dan membuat pertimbangan berasaskan penganalisisan yang bersungguh-sungguh tentang sesuatu situasi dan proses memikirkan secukup-cukupnya berkenaan urutan aktiviti atau cara-cara yang dapat digunakan sebagai tindakan. Fred Luthans (1976) menyifatkannya sebagai satu proses membuat pilihan antara beberapa altematif. Newman (1972) pula menyamakannya sebagai perancangan. Alberts (1974) mengklasifikasikan sebagai perancangan, motivasi dan pengawalan. Cambell, Corbally dan Nystrand (1983) pula menyatakan pembuatan keputusan ialah memilih antara cara-cara bergerak ke arah pencapaian sesuatu matlamat.

Lipham (1985) seterusnya menyatakan bahawa peranan pengetua di sekolah adalah untuk memajukan cara-cara membuat keputusan dan melaksanakan perubahan pendidikan. Membuat keputusan ini dikatakan sebagai tanggungjawab penting pengetua dan ia melibatkan 3 perkara iaitu kandungan keputusan, bagaimana keputusan harus diambil, dan penglibatan staf dalam membuat keputusan. Dalam hal ini pengetua perlu memiliki pengetahuan dan kemahiran yang mencukupi dalam menentukan maklumat yang diperlukan, individu yang dilibatkan serta mengadakan struktur yang sesuai untuk membuat keputusan. Pengetua yang berkesan dapat membuat keputusan yang boleh menyelesaikan masalah yang dihadapi. Di samping itu maklumat yang digunakan untuk membuat keputusan dikumpulkan dengan cara sistematik dan berterusan sama ada dari kajian atau maklumat sekolahnya sendiri.

Campbell, Corbally dan Nystrand (1983) mengelaskan 5 jenis membuat keputusan di sekolah iaitu status quo, tindak balas, ditangguhkan, tindakan baru dan kompleksiti. Manakala Luthans (1976) menambah 2 iaitu keputusan peribadi dan organisasi serta keputusan rutin. Keputusan rutin melibatkan keadaan pengetua dikehendaki membuat keputusan menurut polisi-polisi yang telah ditentukan. Keputusan yang ditangguhkan bermaksud pengetua merasakan tidak penting untuk membuat keputusan sekarang, walaupun lambat laun keputusan terpaksa diambil juga. Keputusan status quo pula perlu apabila terdapat situasi baru dan belum terdapat dasar-dasar yang boleh digunakan untuk menyempurnakannya. Keputusan inovasi biasanya melibatkan pembentukan polisi-polisi, matlamat atau program-program baru di sekolah. Keputusan 'tindak balas' wujud apabila terdapat masalah-masalah atau situasi yang memerlukan gerak balas manakala keputusan kompleksiti wujud apabila pengetua menghadapi situasi yang melibatkan orang ramai.

Seterusnya terdapat 3 keadaan yang menentukan proses pembuatan keputusan di sekolah. Keadaan ketentuan ialah apabila pengetua mempunyai maklumat-maklumat yang mencukupi untuk mengetahui hasil yang mungkin wujud daripada keputusan yang dibuat. Keadaan risiko pula ialah keadaan yang wujud apabila maklumat yang diperoleh adalah baik, dan keputusan yang diambil jelas tetapi hasil masa depan bergantung kepada alternatif yang mungkin berubah. Keadaan ketidaktentuan pula wujud apabila pengetua tidak ada maklumat tentang pilihan alternatif ataupun anggaran risiko seperti melibatkan harga, kos barangan, kekuasaan dan sebagainya.

Hoy dan Miskel (1996) yang meninjau pembuatan keputusan dari aspek pentadbiran pendidikan telah menyarankan 5 langkah yang boleh dibuat oleh pengetua dalam membuat keputusan. Langkah-langkah tersebut ialah:
1.   MengenaI pasti dan mendefinisikan masalah.
2.   Menganalisis kesukaran dalam situasi semasa.
3.   Membentuk kriteria untuk penyelesaian.
4.   Membuat perancangan atau strategi untuk tindakan. Ini termasuk mengkhususkan altematif, meramal kesan-kesan dan
      memilih alternatif
5.   Membuat perancangan dari segi merencana, berkomunikasi, menyelenggara dan menilai konsekuen keputusan.

Pengetua yang berkesan adalah mereka yang mampu membuat keputusan yang boleh menyelesaikan masalah yang dihadapi. Di samping itu maklumat yang digunakan untuk membuat keputusan itu dikumpul dengan cara yang sistematik dan berterusan, sama ada daripada kajian ataupun daripada maklumat sekolahnya sendiri. Proses membuat keputusan ini juga bergantung kepada matlamat yang dihajati oleh pengetua. Jika matlamatnya berpusatkan kepada pelajar, maka keputusan yang dibuat juga perlu dihalusi dari perspektif matlamat tersebut (Hussein , 1993).

Bagaimanapun keberkesanan pembuatan keputusan didalam pengurusan sesebuah sekolah adalah dilihat dari segi kontigensinya. Mengikut Vroom dan Yetton (1973), masalah yang dihadapi oleh pemimpin adalah untuk menentukan kontigensi setiap situasi dan seterusnya bertingkah laku mengikut keberkesanannya. Terdapat situasi, stail atau pendekatan autokratik adalah lebih berkesan dan sebaliknya terdapat situasi teknik atau stail partisipatif lebih berkesan.

Pembuatan Keputusan Partisipatif

Kajian-kajian mengenai teknik membuat keputusan secara partisipatif telah bermula sejak 1948 yang dikendalikan oleh Coch dan Fench (Conway, 1978 dalam Tony Bush, 1980) Menurut Estler (1988), keputusan secara partisipatif merupakan hasil perbincangan antara kalangan yang menyertai proses pembuatan keputusan dalam sesebuah organisasi. Owens (1995) pula menyebut bahawa membuat keputusan partisipatif memerlukan interaksi kuasa dan pengaruh daripada dua sumber iaitu kuasa dan pengaruh daripada pentadbir dan pihak lain dalam organisasi sekolah yang merujuk kepada guru dan staf, pelajar-pelajar dan ahli komuniti.

Banyak kajian menyatakan bahawa keputusan partisipatif adalah menguntungkan. Ia digabungkan dengan pertimbangan etika dan moral yang akan menyediakan sokongan untuk penglibatan aktif daripada kakitangan profesional dalam keputusan-keputusan yang mempengaruhi mereka. Keputusan partisipatif boleh memberi beberapa kebaikan (Newell, 1978). Keputusan ini lebih baik kerana terdapat penglibatan guru dan kakitangan. Ia juga dapat memperkembangkan potensi individu melalui penglibatan dalam proses membuat keputusan. Seterusnya, ia dapat mengintegrasikan matlamat peribadi dengan matlamat organisasi dan membantu ke arah keharmonian dan perpaduan dalam organisasi. Apabila kakitangan dijadikan penyumbang aktif dalam membuat keputusan, mereka akan merasakan dihargai dan dihormati. Lunenburg (1995) menyenaraikan 4 kelebihan membuat keputusan secara partisipatif iaitu tahap pengetahuan akan semakin meningkat apabila banyak maklumat dan pengalaman disumbangkan. Kedua, lebih banyak pilihan pendekatan boleh diperoleh apabila setiap individu mempunyai cara tersendiri dalam mencari maklumat, menganalisis masalah dalam setiap peringkat membuat keputusan. Ketiga, melalui kumpulan, kita dapat mengenal pasti dan menilai lebih banyak alternatif daripada ahli yang terlibat dan yang kelima, meningkatkan penerimaan keputusan oleh ahli organisasi.

Dalam membuat keputusan secara partisipatif, Owens (1995) menggariskan beberapa langkah yang boleh digunakan oleh pengetua di sekolah. Pertama, pengetua mengenal pasti jenis masalah berkenaan sama ada masalah tersebut sesuai diselesaikan oleh sekumpulan ahli atau patut dirujukkan kepada ahli-ahli yang mempunyai kepakaran tertentu. Misalnya, masalah yang berbentuk discrete lebih baik diselesaikan oleh seseorang yang pakar. Contoh masalah berbentuk 'discrete' ialah masalah yang elemen di dalamnya kurang jelas dan memerlukan siri turutan tindakan yang logik yang hanya dapat diselesaikan oleh orang tertentu sahaja. Masalah berbentuk 'emergent' pula sesuai dikendalikan oleh sekumpulan ahli. Masalah-masalah seperti ini biasanya lebih jelas dan penyelesaiannya memerlukan koordinasi berterusan dan maklum balas dari ramai orang. Kedua ialah mengenal pasti siapa yang patut terlibat dalam membuat keputusan secara partisipatif. Kesilapan yang selalu berlaku dalam membuat keputusan seperti ini ialah melibatkan setiap orang dalam semua keputusan. Sikap ini adalah tidak praktikal.

Sehubungan itu Edwin Bridges (1967) mencadangkan 3 cara untuk mengenalpasti masalah-masalah yang sesuai untuk melibatkan guru dalam membuat keputusan secara partisipatif iaitu:

1.      Mengadakan ujian hubung kait (The test of relevance). Menurut Bridges, apabila keputusan yang hendak dibuat itu mempunyai ciri-ciri kepentingan kepada guru itu sendiri, maka minat mereka untuk menyertai pembuatan keputusan juga adalah tinggi. Masalah yang menepati ciri-ciri ujian ini adalah seperti kaedah pengajaran, disiplin dan kurikulum.

2.      Ujian kepakaran (The test of expertise). Sekadar melibatkan guru dalam membuat keputusan dikatakan tidak mencukupi. Bagi menjadikan penyertaan guru lebih signifikan, seseorang guru mestilah sanggup dan mampu memberikan kerjasama dan sumbangan secara efektif. Contohnya, guru bahasa Inggeris walaupun bukan pakar dalam pendidikan jasmani boleh memberikan sumbangan sama ada kecil atau besar berdasarkan latihan dan pengalaman yang ada padanya.

3.      Ujian bidang kuasa (The test of jurisdiction). Guru-guru biasanya hanya mempunyai bidang kuasa membuat keputusan dalam bidang yang ditugaskan sahaja. Masalah boleh jadi ada hubung kait dengan guru dan guru mungkin mempunyai kepakaran yang diperlukan untuk membuat keputusan tetapi tidak mempunyai bidang kuasa. Keadaan ini boleh menyebabkan kekecewaan.

Bridge (1967) menggambarkan 4 gaya pengetua dalam membuat keputusan pertisipatif di sekolah. Pertama, memaklumkan (announcing) iaitu pengetua mengambil tindakan dan memaklumkan kepada guru. Kedua mod pengujian (testing mod) iaitu pengetua membuat keputusan sementara (tentative decision), memaklumkan kepada guru untuk mendapatkan reaksi mereka dan akhirnya membuat keputusan yang muktamad. Ketiga, menasihat (soliciting) iaitu pengetua meminta cadangan dan kemudian memilib satu sebagai penyelesaiannya. Keempat ialah perwakilan kuasa (delegating) iaitu pengetua memberi peluang kepada guru untuk menangani masalah dan membuat keputusan. Keputusan guru akan menentukan tindakan-tindakan yang diambil.

Strategi partisipatif adalah sesuai apabila keputusan tersebut memerlukan penerimaan yang padu, kerana keputusan yang begitu selalunya memberi peluang kepada orang yang terlibat untuk mempengaruhi hasil. Memperoleh penerimaan melalui strategi partisipatif ini bukan sahaja memberikan guru dan kakitangan rasa berpengaruh untuk membuat keputusan tetapi juga memberi mereka pengetahuan mengapa sesuatu tindakan itu diambil. Di samping itu kualiti keputusan juga boleh dijamin apabila kakitangan dipanggil bersama untuk menyuarakan pendapat, pandangan dan idea-idea yang membantu.

Mengikut Vroom dan Yetton (1973), masalah yang sering dihadapi oleh banyak pemimpin adalah untuk menentukan kontigensi pembuatan keputusan. Model kontigensi Vroom-Yetton menerangkan beberapa cara membuat keputusan dan bagaimana untuk menggunakan berbagai-bagai strategi keputusan. Strategi keputusan itu adalah autokratik (A), perundingan (P) dan kumpulan (K). Apabila keputusan bergerak dari AI ke arah KII, jumlah pengaruh kakitangan terhadap keputusan akhir akan bertambah.
AI        Pemimpin (pengurus, pentadbir) membuat keputusan menggunakan maklumat yang ada.
AII       Pemimpin memperoleh maklumat daripada ahli-ahli kumpulan, kemudian membuat keputusan
PI         Pemimpin berkongsi masalah dengan ahli-ahli tertentu dalam kumpulan secara pertemuan individu tanpa menemukan mereka sebagai satu kumpulan, dan pemimpin membuat keputusan.
PII        Pemimpin berkongsi masalah dengan ahli-ahli sebagai satu kumpulan dalam mesyuarat, untuk mengumpul idea dan cadangan-cadangan, kemudian membuat keputusan.
KII       Pemimpin berfungsi sebagai pengerusi dalam mesyuarat, berkongsi masalah dengan semua ahli dan sama-sama membuat keputusan. Peranan pemimpin hanya untuk menyediakan maklumat, membantu kesungguhan kumpulan menentukan penyelesaian, dan bukan melalui dirinya sendiri.

Proses yang disarankan oleh Vroom dan Yetton ini memberi panduan kepada pengetua dalam memilih proses pembuatan keputusan yang sesuai. Bagaimanapun strategi ini bergantung kepada faktor-faktor berikut:
(i)         Adakah masalah mempunyai keperluan kualiti tertentu?
(ii)        Adakah pemimpin mempunyai maklumat yang mencukupi untuk membuat keputusan?
(iii)       Adakah masalah itu berstruktur?
(iv)       Adakah perlu bagi orang lain menerima keputusan yang dibuat supaya ia boleh dilaksanakan?
(v)        Jika pemimpin membuat keputusan itu sendiri, apakah kepastian orang lain akan menerima?
(vi)       Adakah orang lain berkongsi matlamat-matlamat organisasi yang diperoleh melalui keputusan yang dibuat?
 (vii)      Adakah keputusan yang dipilih kemungkinan menghasilkan konflik di kalangan ahli-ahli?

Di dalarn organisasi berbentuk hierarki seperti sekolah, proses pembuatan keputusan dikawal sepenuh oleh pentadbir. Sehubungan dengan itu adalah amat penting bagi seorang pentadbir mempertimbangkan bentuk penglibatan yang dikehendaki. Tannenbaum dan Schmidt (1961) telah mengemukakan satu kontinum tingkah laku pengurus dalam pembuatan keputusan yang dinamakan "Continuum of leadership behaviour".

            Tannenbaum dan Schmidt mengenal pasti stail kepimpinan sebagai satu kontinum dari "berorientasi tugas" kepada "berorientasi manusia". Model ini menyatakan 7 stail kepimpinan, iaitu jika pemimpin menunjukkan tingkah laku lebih ke kiri kontinum (pemusatan kepada ketua), dia dikatakan mengutamakan dirinya dan lebih kepada mengarah. Manakala pemimpin yang menunjukkan tingkah laku lebih ke arah kanan kontinum (pemusatan kepada pekerja), dia dikatakan mementingkan orang-orang bawahannya dan membolehkan mereka berfungsi secara sendiri dalam had lingkungan yang ditentukan olehnya. Mereka juga melihat bahawa keputusan yang dibuat oleh seseorang pengurus adalah untuk mengelola, mengarah, atau mengawal orang-orang bawahannya supaya matlamat organisasi tercapai. Oleh kerana pengurus perlu bekerja melalui orang-orang bawahannya untuk mencapai matlamat organisasi dan orang-orang bawahan secara terus dipengaruhi oleh keputusan yang diambil, maka mereka mungkin berminat untuk sama-sama terlibat dengan pembuatan keputusan terutamanya yang melibatkan diri mereka sendiri.

            Pemerhatian dan pengalaman penulis di sekolah mendapati bahawa pembuatan keputusan partisipatif ini memang diamalkan oleh pengetua bahkan oleh pentadbir lain seperti penolong kanan, penyelia petang dan ketua-ketua bidang. Ini kerana di sekolah setiap guru mempunyai tugas dan peranan serta memiliki kepakaran dalam bidang masing-masing. Oleh itu pengetua perlu mengambil kira idea, pandangan dan penglibatan mereka dalam membuat sesuatu keputusan seperti mengenai buku teks, disiplin, pengajaran dan sebagainya.

Pelaksanaan Pembuatan Keputusan Partisipatif Di Sekolah
Secara umum pembuatan keputusan secara partisipatif telah digunakan secara meluas oleh pengetua dalam sistem pengurusan sekolah kini. Bush et.al (1980) menyatakan bahawa pembuatan keputusan partisipatif biasanya digunakan di sekolah dalam perkara-perkara mengenai melantik kakitangan, menyedia belanjawan, pemilihan buku teks, menyelesaikan masalah pelajar, membina jadual waktu sekolah, menyelesaikan masalah guru dan kakitangan, menggunakan kaedah pengajaran baru, keputusan berkaitan kemudahan bangunan, menyelesaikan masalah perkhidmatan pentadbiran dan keputusan tentang polisi umum sekolah.

Di sekolah, walaupun pengetua merupakan personel yang bertanggungiawab penuh dalam sebarang proses membuat keputusan atas kapasitinya sebagai ketua jabatan, banyak keputusan yang berkait dengan isu sekolah mengambil kira penyertaan subordinat iaitu guru-guru dan kakitangan. Malah dalam aspek tertentu yang melibatkan komuniti, keputusan dibuat mengambil kira pandangan ‘stakeholders’ khususnya PIBG. Perkara ini lebih jelas dilihat kerana sekolah mempunyai sistem pengurusan yang sistematik dengan wujudnya unit-unit kecil iaitu jawatankuasa-jawatankuasa kecil seperti jawatankuasa disiplin pelajar, jawatankuasa kantin dan sebagainya. Ini merupakan antara medium yang sering digunakan oleh pengetua dalam membuat keputusan secara kolaboratif. Contohnya, untuk membuat keputusan mengenai tindakan disiplin terhadap pelajar yang terlibat dalam pergaduhan dan melibatkan kecederaan, pengetua dan jawatankuasa terlibat akan bersama-sama berbincang untuk menentukan keputusan yang bakal diambil. Dalam hal ini pengetua tidak bertindak membuat keputusan secara individu kerana wujudnya fungsi jawatankuasa berkenaan. Dalam hal mi walaupun keputusan akhir sebenarnya pada pengetua tetapi proses pembuatan keputusan berkenaan melibatkan penyertaan guru seperti yang disebutkan oleh Bush.

Cara yang membezakan keputusan berkenaan dibuat adalah berdasarkan isu masalah yang ingin ditangani. Pengetua biasanya menggunakan pelbagai gaya seperti yang diutarakan oleh Bridge (1967), Vroom dan Yetton (1973) atau Tannenbaum dan Schidmt (1961). Ferris (1992) dalam kajiannya mendapati bahawa dalam proses pembuatan keputusan, kaedah pengetua beroperasi adalah berbeza-beza. Penglibatan kakitangan dalam proses membuat keputusan dan menentukan kakitangan mana patut dilibatkan adalah berbeza dan bergantung kepada isu yang ditangani. Ada pengetua melibatkan guru-guru dalam pembuatan keputusan dengan cara meminta nasihat atau cadangan secara formal atau mendelegasikan autoriti secara formal. Satu lagi cara ialah dengan meletakkan guru-guru di tengah-tengah iaitu guru-guru diberi kepercayaan untuk membuat keputusan secara empowerment.

Lancto (1988) dalam Ubben dan Hughes (1992) dalam kajiannya mencadangkan lima tahap penglibatan pembuatan keputusan dan jenis keputusan yang boleh dilaksanakan di sekolah iaitu pertama keputusan dibuat oleh guru secara individu. Contohnya yang berkaitan strategi pengajaran dalam kelas; pengayaan dan pemulihan. Kedua, keputusan dibuat oleh guru-guru secara kumpulan (mungkin melibatkan pelajar dan ibu bapa). Contohnya, pemilihan buku teks, penggunaan masa, dan pengagihan sumber-sumber dalam sekolah. Ketiga, Keputusan dibuat oleh guru-guru, pengetua dan juga pihak lain seperti ibu bapa dan pelajar mengikut kesesuaian. Contohnya, keputusan kurikulum yang melibatkan satu kumpulan atau satu unit pengajaran; penjadualan; bahan-­bahan pengajaran; keputusan perkara-perkara lain yang melibatkan lebih daripada satu unit. Keempat, keputusan oleh pentadbir, ketua jabatan, dan penyelia-penyelia selepas berbincang dengan kakitangan. Contohnya, cadangan belanjawan, menyelesaikan konflik, strategi penilaian; mengadakan laporan keberkesanan sekolah kepada pejabat pendidikan daerah dan negeri. Kelima, ialah keputusan yang dibuat oleh pengetua atan pentadbir lain. Contohnya, isu-isu yang berkaitan dengan undang-undang seperti disiplin pelajar dan guru; kenaikan pangkat; pengesahan jawatan kakitangan dan sebagainya.

Menurut Lancto, kadangkala keputusan dibuat oleh pengetua di sekolah adalah pada tahap menasihati sahaja, dan kadang-kadang pengetua menentukan keputusan itu sendiri. Dalam pembuatan keputusan secara partisipatif pula, guru bekerja dengan pengetua dalam dua cara iaitu (i) memberi nasihat sebelum pengetua membuat keputusan tertentu dan (ii) kakitangan dan pengetua membuat keputusan bersama-sama.

            Dalam satu kajian mengenai proses pembuatan keputusan secara partisipatif di sekolah oleh Glasman dan Hajnik (1991) menunjukkan bahawa:

1. Isu yang melibatkan perkongsian dalam membuat keputusan dan interaksi pengetua – guru adalah berkaitan dengan tugas utama guru di sekolah iaitu peranan guru dalam kurikulum dan pengurusan pelajar.
2. Pengetua bersetuju bahawa dengan cara mengadakan perbincangan bersama guru yang melibatkan semua kategori guru memberi input dalam membuat keputusan.
3. Pengetua menggunakan 4 gaya seperti yang diutarakan oleh Bridge (1967) iaitu announcing', 'soliciting', 'testing mode' dan delegating' berdasarkan isu yang ditangani.
4. Pengetua melakukan proses menapis, menimbang dan memutuskan idea dan pandangan guru dalam membuat keputusan supaya selaras dengan matlamat dan visi sekolah mereka.
5. Majoriti pengetua mengakui, kesan perkongsian membuat keputusan sekolah meningkatkan semangat bekerja guru. Ini selaras dengan Rossmiller (1992) yang berpendapat bahawa kualiti budaya kerja guru meningkat apabila pengetua menggalakkan guru-guru terlibat dalam membuat keputusan.

Kajian tentang sekolah efektif menunjukkan bahawa seseorang pengetua yang berkesan menggunakan polisi “pintu terbuka”, iaitu guru-guru dan pelajar-peIajar mudah berjumpa dan mendekati beliau setiap masa dan bersedia menurunkan kuasa (empowerment) kepada guru-guru untuk mendapatkan kerjasama penuh bagi mencapai matlamat organisasi. Short, Greer, dan Melvin (1994) menunjukkan bahawa pengupayaan telah menghasilkan banyak perubahan positif dalam proses membuat keputusan secara bersama, kualiti menyelesaikan masalah meningkat, lebih banyak idea kreatif dihasilkan, dan meninggikan semangat kekitaan serta kerjasama di kalangan staf. Dalam konteks ini, 'empowerment' merupakan salah satu elemen yang banyak digunakan oleh pengetua dalam membuat keputusan secara partisipatif. Pada hari ini kebanyakan pengetua memberikan kepercayaan kepada Guru Penolong Kanan untuk membuat keputusan khususnya semasa mereka tiada di sekolah dan guru diberi pengupayaan berdasarkan tugas dan isu yang difikirkan relevan untuk dilaksanakan oleh guru berkenan. Menurut Hussein Mahmood (1993), empowerment dilaksanakan dalam setiap bidang yang menjadi tugas pengetua di sekolah iaitu kurikulum, ko kurikulum, pentadbiran, perkhidmatan dan perjawatan, kewangan, harta benda, perhubungan, dan iklim sekolah. Dalam satu kajian yang dibuat oleh Hararey, mengenai pelaksanaan empowerment di sekolah menyebut bahawa dalam membuat keputusan, 98% pengetua berpendapat bahawa mereka perlu berunding dengan guru-guru dan kakitangan sekolah sebelum membuat sebarang keputusan atau bertindak ke atas sesuatu perkara. Selain itu mereka juga berpendapat bahawa mereka harus memberi kebebasan kepada guru-guru dan kakitangan mereka yang cekap untuk membuat keputusan dalam melaksanakan tugas (79.6%). Sebahagian besar pengetua (94%) pula didapati lebih suka mendengar idea-idea dan pandangan guru dan kakitangan mereka sendiri berbanding idea dan pandangan pihak atasan dalam membuat keputusan mengenai sekolah mereka. Ini selaras dengan kata Ferris (1992) yang menyatakan guru-guru patut dilibatkan dalam proses membuat keputusan di sekolah kerana mereka adalah orang yang paling dekat dengan pelajar-pelajar dan berada dalam kedudukan yang baik untuk menentukan keperluan dan kebolehan pelajar.

Menurut Rosmiller (1992) penglibatan guru melalui pembuatan keputusan dapat dilihat dalam merancang aktiviti pembangunan staf, membiar guru menggunakan budi bicara menentukan aktiviti-aktiviti kurikulum, meminta bantuan guru dalam membuat peraturan, prosedur yang berkaitan dengan masalah yang timbul dan memberi kesan kepada keadaan bilik darjah.

Penglibatan kakitangan dan pengetua secara bersama dalam membuat keputusan di sekolah ditekankan lagi oleh Savery, Soutar dan Dyson (1992) dalam kajian mereka yang mengukur gaya pembuatan keputusan yang diutamakan oleh Guru Penolong Kanan (Deputy Principal). Dapatan menunjukkan bahawa keputusan-keputusan yang ada kaitannya dengan tugas seseorang individu merupakan aspek yang menentukan penglibatan kakitangan dalam membuat keputusan kerana kakitangan tersebut mempunyai tahap kemahiran dan kesediaan untuk bersama-sama terlibat membuat keputusan. Savery et.al (1920) telah mendapati bahawa bagi faktor-faktor polisi sekolah, disiplin pelajar, beban mengajar, polisi umum, penglibatan ibu bapa dan peruntukan masa, Iebih 60% responden telah mengutamakan teknik pembuatan keputusan secara bersama oleh kakitangan dan pengetua dalam amalan pengurusannya.

Weathersby dan Harkreader (1999) pula dalam kajiannya mengenai pembangunan staf dan kaitannya dengan pencapaian pelajar di 60 buah sekolah menengah di Georgia, Amerika Syarikat mendapati bahawa pencapaian sekolah tinggi bagi sekolah yang pengetua-pengetuanya mengamalkan proses pembuatan keputusan secara partisipatif dalam menguruskan program-program pembangunan stafnya. Sekolah yang mengamalkan proses pembuatan keputusan kurang kolaboratif pula didapati mempunyai pencapaian yang rendah. 

Pelaksanaan pembuatan keputusan secara partisipatif di sekolah juga dinyatakan secara jelas dalam kajian oleh Noorul Aini (1997) mengenai proses pembuatan keputusan pengetua di sebuah sekolali di Selangor. Dapatan kajian menunjukkan bahawa pengetua paling banyak membuat keputusan hasil cadangan-cadangan yang dibuat oleh kaki tangannya. Dalam membuat keputusan ini juga didapati pengetua menggunakan semua stail pembuatan keputusan iaitu pengetua dan kakitangan membuat keputusan bersama, pengetua membuat keputusan dan mengumumkan keputusan kepada kakitangan dan kakitangan membuat keputusan secara empowerment bagi mengatasi masalah-masalah tertentu. Fenomena ini menyokong kajian Savery et al(1992) yang menunjukkan bahawa keputusan yang ada kaitan dengan tugas seseorang individu merupakan aspek penglibatan kakitangan dalam membuat keputusan kerana kakitangan tersebut mempunyai tahap kemahiran dan kesediaan untuk sama-sama terlibat dalam membuat keputusan ini amat jelas kerana di sekolah guru-guru terlibat dengan tugas-tugas berbentuk kurikulum, ko-kurikulum dan pentadbiran. Dapatan kajian menunjukkan faktor-faktor pengurusan jadual waktu sekolah, agihan tugas guru, aktiviti ko-kurikulum, pengurusan wang SUWA sekolah, pembelian alat kelengkapan sekolah, kebersihan, keceriaan, aktiviti PIBG merupakan faktor-faktor yang mempunyai hubungan yang jelas dengan bidang pengurusan berkaitan tugas guru di sekolah. Ini menunjukkan bahawa sebahagian besar guru di sekolah dan bersama-sama pengetua terlibat dalam membuat keputusan bagi aspek-aspek pengurusan tersebut kerana secara umum mereka mempunyai tahap kemahiran dan kesediaan untuk sama-sama terlibat dalam membuat keputusan.

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan di atas menunjukkan bahawa pembuatan keputusan partisipatif merupakan satu kaedah untuk mewujudkan pengurusan yang lebih telus, bersifat kolaboratif, dan efektif di sekolah. Dalam konteks pendidikan di Malaysia ia bukanlah pendekatan yang sukar untuk dilaksanakan. Selama ini pun pengetua bahkan pentadbir sekolah yang lain seperti penolong kanan telah mengamalkan proses membuat keputusan secara partisipatif. Mereka bekerja bukan secara individu tetapi secara berpasukan (team) yang pastinya  mewujudkan strategi dan keputusan-keputusan bersama (kolaboratif). Guru-guru dilibatkan dalam membuat keputusan kerana mereka merupakan orang yang lebih dekat dengan pembelajaran pelajar khususnya berkaitan dengan pemahaman praktikal tentang pengajaran dan proses mengajar.

Justeru, untuk menggalakkan lebih banyak penglibatan kakitangan, pengetua disarankan menggunakan lebih banyak stail pembuatan keputusan yang lebih kepada "pemusatan kepada kakitangan". Dengan cara ini kakitangan akan mudah memberi sokongan, mempunyai komitmen terhadap tugas yang diberi dan merasa pandangan mereka diambil kira serta sumbangan mereka dihargai. Pengetua pula haruslah bersikap positif dengan memberi peluang kepada semua guru terlibat dalam membuat keputusan dan bukan hanya diberikan kepada penolong kanan sahaja semasa ketiadaannya. Anjakan paradigma ini perlu supaya keputusan di sekolah tidak terikat kepada sifat arahan dan autoriti sebaliknya lebih kepada perbincangan dan delegasi tugas. Apa yang penting ialah guru dan kakitangan boleh terlibat dalam membuat keputusan tetapi keputusan berkenaan mestilah dalam sempadannya demi mencapai matlamat sekolab yang sama. Pengetua juga haruslah bijak dalam mengendalikan keputusan di sekolah. Pengetua yang berkesan akan menggunakan pendekatan dan cara yang berbeza-beza berdasarkan kesesuaian masa, kos operasi, permintaan pelanggan dan kehendak organisasi
Akhirnya, jika pengetua sekolah rnampu mengaplikasikan perkongsian ini dengan baik sudah pasti tahap pembuatan keputusan akan semakin efektif yang seterusnya dapat membangun dan mencapai visi sekolah bersama.

BibIiografi
Alberts, H.H. (1974). Principles of Management (4th. Edition). New York : John Willey and Sons, Inc.
Bridges, E.M. (1967). A Model For Shared Decision Making in The School Principalship. Education Administration Quarterly', 3(1), 49-61.
Bush, T., Glatter, R., Coodey, J., & Riches, C. (1980). Approaches To School Management. London: Harper & Row Publisher.
Campbell, R.F., Corbally, J.E., & Nystrand, R.O. (1983). Introduction to Educational Administration, Massachusetts: Allyn and Bacon, Inc.
Conway, J.A. (1984). The myth, mystery, and mastery of participative decision making in education. Educational Administration Quarterly, 20 (3),1 1-40.
Estler, S.E. (1988). Decision Making. In N.J. Boyan, (Ed.), Handbook of Research On Educational Administration (pp. 305-3 19). New York : Longman.
Ferris, J. M., (1992). School-Based Decision Making: A Principal - Agent Perspective. Journal of Research and Development In Education, Vol.14, No.4, 333-346.
Glasman, N. S., & Hajnik, S.R. (1991) Participative Decision Making in Schools: Do Principals Fascinate Teacher Participation? Educational Administration Quarterly, 109-125.
Hoy, W.K., & Miskel, C.G. (1996). Educational Administration Theory Research and Practice (fifth edition). New York: McGraw-Hill, Inc.
Hussein Mahmood. (1993). Kepemimpinan dan Keberkesanan Sekolah. Kuala Lumpur: DBP.
Lunenburg., F.C. (1995). The Principalship : Concept and Applications. New Jersey Prentice-Hall, Inc.
Luthans, F.L. (1976). Introduction to Management: A Conti~ncv Approach. New York McGraw Hill Book Co.
Newman, W.H. (1972). Process of Management: Concepts Behaviour and Practice (2 Edition). : New Jersey : Prentice-Hall, Inc.
Newell, C. (1978). Human Behaviour in Educational Administration, New Jersey: Prentice-Hall, Inc.
Noorul Aini Ambak. (1997). Proses Pembuatan Keputusan Di Sebuah Sekolali Menengah Satu Kajian Kes. Tesis sarjana yang tidak diterbitkan, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Owens, R. G. (1995). Organizational Behaviour in Education. (5th. Edition). USA: Allan and Bacon.
Robiah Sidin. (1988). Asas Pentadbiran Pendidikan. Petaling Jaya: Pustaka Cipta.
Rossmiller, R.A. (1992). The Secondary School Principal and Teachers Quality of Works Life. Educational Managment and Administration, Vol.20, No.3, 132-146.
Savery, L. K., dan Soutar, G.N. (1992). Ideal Decision Making Styles Indicated by Deputy Principals. Journal of Educational Administration, Vol.30, No.2, l 8-25.
Short, P.M., Greer, J. T., dan Melvin, W.M., (1994). Creating Empowered Schools:Lesson in Change. Journal of Educational Administration, Vol.32, No. 4, 38-52.
Tannenbaum, R. (1961). Leadership and Organization: A Behavioral Science Approach. New York: McGraw-Hill Book Company.
Ubben, G. C., Hughes, L. W., (1992). The Principal : Creative Leadership for Effective Schools. Allyn and Bacon : Boston.
Vroom, V.H., Yetton, P.W. (1973). Leadership and Decision Making. Pittsburgh:University of Pittsburgh Press.