Sunday 6 March 2011

Artikel 2 : Telefon dan Kamera Pengetua

PENULISAN AMALAN TERBAIK
TELEFON DAN KAMERA PENGETUA

Md. Yusoff Bin Mohamed
(Bekas Penolong Kanan
SMK Bandar Putra, Kulaijaya)

Sekolah mempunyai persekitaran yang menarik. Pokok-pokok bunga terjaga rapi dengan adanya kerjasama antara pekerja swasta dengan murid-murid. Banyak pembaharuan telah dibuat oleh Pengetua. Kehijauan kawasan sekolah memang telah terbukti sangat menarik. Banyak mural dan sudut-sudut ilmu telah disediakan untuk kemudahan murid-murid mendapatkan pengetahuan. Pendek kata, sejuklah mata memandang.
Sekolah sentiasa peka dengan persekitaran kerana murid-murid memang dididik agar sentiasa mencintai alam. Naib Johan Kebangsaan Program Toyota Eco-youth menjadi pemangkin pengekalan keceriaan sekolah. Walau bagaimanapun pekerja swasta mempunyai sedikit masalah dengan majikan mereka. Gaji kadangkala lewat dibayar. Keadaan ini menjejaskan emosi dan kerajinan mereka bertugas. Beberapa kawasan didapati tidak dibersihkan dengan sempurna. Mereka bertugas umpama melepaskan batuk di tangga sahaja.
Apabila masalah ini dikemukakan kepada pihak pengurusan syarikat, mereka berjanji untuk melangsaikan gaji pekerja yang tertunggak. Namun begitu, ia hanya bertahan selama satu atau dua bulan. Selepas itu, perkara yang sama akan berulang kembali. Banyak kawasan yang tidak lagi dibersihkan dengan sempurna. 
Pihak syarikat menyediakan seorang penyelia yang memantau beberapa buah sekolah. Fungsinya untuk memastikan pekerja berkenaan melaksanakan tugas dengan baik. Walau bagaimanapun penyelia ini tidak dapat melawat kesemua kawasan sekolah secara menyeluruh disebabkan kesuntukan masa.
Pengetua amat arif tentang masalah pekerja swasta. Beliau juga merupakan seorang yang celik IT. Kamera digital dan telefon bimbit berkamera sentiasa berada di tangan. Setiap kecacatan dalam pelaksanaan tugas pekerja swasta ini sentiasa mendapat liputan kamera ataupun telefon bimbit Pengetua. Beliau merupakan pegawai awam yang amat berpegang kepada prinsip bahawa dirinya merupakan wakil kerajaan dalam pemantauan perbelanjaan wang awam, sebarang penyelewengan menjadi pantang yang amat besar bagi dirinya.
Pemantauan dan rondaan yang kerap terhadap persekitaran sekolah membolehkan banyak rakaman gambar dapat dirakam untuk membuktikan kelemahan pekerja swasta yang dilantik oleh pihak syarikat. Biasanya jika diperkatakan secara lisan ada sahaja alasan yang diberikan oleh para pekerja syarikat.
Pendekatan berhemah yang dilakukan oleh Pengetua ialah, beliau merakam apa-apa sahaja kecacatan sesuatu tempat yang menuntut para pekerja syarikat pembersihan mengambil tindakan terhadapnya. Pengetua membuktikan keadaan tersebut kepada penyelia yang datang dengan mempersembahkan segala kecacatan pemandangan dengan menggunakan media ICT berdasarkan gambar-gambar yang telah dirakam. Kebolehan Pengetua mengemukakan bukti kukuh ini menyebabkan pihak syarikat tidak boleh berdolak dalik lagi.
Syarikat juga takut Laporan Prestasi Bulanan yang akan dibuat oleh Pengetua kerana bukti boleh dikemukakan secara jelas. Mereka tidak boleh memberi alasan lagi. Maka berubahlah sikap pekerja walaupun mereka kadang kala mempunyai masalah dengan pihak syarikat.
Penerangan Pengetua secara berhemah untuk membuktikan bahawa di antara pekerjaan yang dilakukan dengan gaji yang diperolehi adalah dua perkara yang berbeza. Mereka perlu menjaga nama baik warga sekolah yang terdiri daripada guru-guru dan murid-murid.
Selepas peristiwa berkenaan, kawasan sekolah semakin ceria. Kebersihan semakin terjaga. Sekolah telah menjadi tempat yang sangat kondusif untuk murid-murid menjalankan aktiviti kurikulum dan kokurikulum. Keadaan ini pastinya berterusan walau sesiapa pun yang menjadi pengemudi sekolah ini pada masa hadapan sekiranya langkah seperti pengetua sekarang ini sentiasa diamalkan. 
Pekerja pembersihan juga semakin tinggi komitmennya apabila Pengetua sentiasa memberikan penjelasan secara berhemah. Hubungan dua hala yang erat membolehkan penyaluran dan penerimaan maklumat berlaku dengan cara yang lebih berkesan. 
Perhubungan mesra pekerja pembersihan lebih terjalin apabila mereka tidak pernah dilupakan sekiranya sekolah menganjurkan majlis. Mereka juga akan diundang bersama untuk menikmati jamuan bagi menghargai jasa membersihkan kawasan majlis dilaksanakan walaupun sebenarnya mereka telah dibayar gaji untuk melaksanakan tugas-tugas berkenaan. Hubungan umpama aur dengan tebing ini pasti akan memberi impak yang besar bagi merealitikan konsep sekolah dalam taman.