Sunday 6 March 2011

Artikel 4 : Jom Puasa Sama-Sama

PENULISAN AMALAN TERBAIK  :

JOM PUASA BERSAMA

Md. Yusoff Bin Mohamed
(Bekas Penolong Kanan
SMK Bandar Putra, Kulaijaya)

Sekolah ini telah mula beroperasi sejak tahun 2004. Bermula dari tahun berkenaan, sudah menjadi tradisi, saban tahun akan dianjurkan puasa beramai-ramai. Uniknya warga sekolah ini ialah semua murid tanpa mengira kaum akan berpuasa. Mereka akan menghadiri majlis berbuka puasa serentak di dewan makan asrama.
Tahun ini merupakan tahun ke-3 program berkenaan dilaksanakan. Tiada sebarang masalah timbul. Segala-galanya berjalan seperti dijangkakan. Guru-guru berketurunan India dan Cina ditugaskan merangka program sepanjang hari berpuasa berkenaan. Bagi guru-guru Islam, mereka menjalani ibadah puasa serta pengisian bulan Ramadhan seperti biasa.
Bezanya, tahun ini merupakan pengalaman pertama pengetua baru bersama-sama warga sekolah untuk berbuka puasa bersama. Majlis berbuka dijangka berlangsung pada pukul 7.14 malam. Seperti biasa guru-guru akan berada di dewan makan asrama lima belas minit sebelum majlis berbuka puasa berlangsung. 
Tiba-tiba, pada jam 6.00 petang, Ketua Warden dan Penyelia Asrama mendapat panggilan telefon daripada pengetua. Beliau ingin tahu sebab tiada seorang pun AJK Program kelihatan sehingga sekarang. Makanan telah tersedia. Tetamu kehormat yang dijemput ialah Pegawai Pelajaran Daerah. Pinggan mangkuk juga telah diletakkan di atas meja.
Panggilan pengetua mengejutkan semua yang terlibat. Bagi mereka tiada yang kurang dalam majlis yang telah dianjurkan beberapa tahun sebelum ini. Di dewan makan, pengetua telah berbincang dengan pengurus dewan makan asrama agar menukarkan pinggan mangkuk yang lebih baik untuk semua tetamu dan ibu bapa yang dijemput. Alasan pinggan mangkuk tidak mencukupi tidak disenangi oleh pengetua.
Pada malam itu, majlis berlangsung seperti yang diharapkan tetapi riak wajah  pengetua terpancar yang beliau tidak begitu gembira dengan majlis yang berlangsung. Banyak perkara yang difikirkannya.
Pagi esoknya, semua AJK Program diminta berjumpa dengan pengetua, mereka diminta menunjukkan kertas kerja program dan senarai tugas AJK. Pada ketika itu, semua AJK saling berpandangan sesama mereka. Kertas kerja untuk program berbuka puasa?
Pengetua mengemukakan beberapa kecacatan program semalam. Tetamu seperti ibu bapa, ada yang datang lebih awal daripada AJK. Pinggan mangkuk yang digunakan untuk tetamu tidak bersesuaian dengan majlis. Perjalanan majlis tersekat-sekat dengan ketidaklancaran atur cara majlis.
Pengetua meminta semua AJK mengemukakan alasan perkara sedemikian berlaku. Beberapa orang AJK mengatakan bahawa mereka tidak sedar akan tugas sebenar yang perlu dilakukan. Mereka hanya melakukan perkara yang sama seperti yang pernah dilakukan sebelum ini. 
Pengetua menerangkan kepentingan menyediakan kertas kerja yang lengkap dan perancangan yang rapi untuk sesuatu majlis. Beliau tidak mahu majlis hanya dilakukan secara ad-hoc’ sahaja. Setiap AJK mesti diberikan spesifikasi tugas masing-masing. 
Bermula dari saat itu, semua program sekolah perlu disertakan kertas kerja yang rapi serta dokumen yang lengkap termasuklah laporan program. AJK mempunyai senarai tugas yang perlu dilaksanakan. Mereka diberikan penerangan lengkap tentang perjalanan majlis dengan adanya Atur Cara Pentadbiran. Perjalanan majlis sekolah tidak lagi menjadi program ad-hoc’ walaupun perhimpunan rasmi mingguan pada pagi Isnin. Daripada pengetua hinggalah kepada murid-murid mereka tahu tugasan masing-masing sepanjang perhimpunan itu berlangsung.