Thursday 17 March 2011

Artikel 8 : Tatacara Menangani Buli


TATACARA MENANGANI BULI


Anuar bin Jais
Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Kulaijaya

Mantan Pen. Kanan SMK Bandar Putra (2004-2006)

Pendahuluan

Membuli dan menjadi mangsa buli adalah satu fenomena biasa di kalangan kebanyakan murid sekolah. Ini disahkan oleh Institut Keadilan Kebangsaan Amerika Syarikat yang mendapati 12 peratus daripada pelajar menengah dan tinggi di Amerika Syarikat dilaporkan menjadi pembuli (U.S. National Institute of Justice, 1996) Dapatan kajian menunjukkan kebanyakan buli dilakukan oleh murid lelaki, dan murid-murid lebih muda/kecil adalah mangsanya, manakala ibubapa dan guru-guru kurang mengambil berat masalah ini, menyebabkan murid-murid membuat persepsi yang guru-guru dan ibubapa mereka tidak akan campurtangan (MacDougall 1993). Penyelidikan merumuskan bahawa buli secara umum boleh menyebabkan antisosial dan pola tingkahlaku melanggar peraturan. Diramalkan murid-murid sekolah yang agresif dan suka membuli lebih berisiko tinggi melakukan masalah tingkahlaku seterusnya seperti jenayah dan penderaan (Olweus, 1991).

Definasi

Kamus Times Lingua (1993) mendefinasikan buli adalah orang yang suka menggunakan kekerasan untuk menakutkan orang yang lemah. Dalam bahasa Melayu biasa, buli dikenali sebagai “penyakat” iaitu mereka yang lebih besar/kuat atau mempunyai kawan, mempunyai tabiat suka menganggu atau menindas orang yang lebih kecil/lemah. Di dalam usaha memahami buli ada pengkaji yang menyamakan buli dengan kekejaman. The National Research Council (dalam Allan.J et.al, 1996) mengelaskan buli sebagai interpersonal violence dan mendefinasikannya sebagai;
"behaviour by persons against persons that intentionally threatens, attempts, or actually inflicts physical harm". The behaviours that are described in this definition are also found in definitions of aggression and most of what is understood about violence comes from research done on aggression. It has been shown that in many instances childhood aggression can be linked to future violent behaviour. Children at around age eight who show aggressive behaviour are more likely than their peers to demonstrate delinquent, criminal or violent behaviour in adolescence and adulthood.
Punca-punca buli
 Tinjauan literatur mendapati penyebab kepada pembuli dan mangsanya di kalangan murid-murid (Zeigler and Rosenstein-Manner, 1991, dalam Allan, J., 1996) ia adalah disebabkan faktor keluarga dan sekolah. Faktor sekolah yang dikenalpasti yang mengakibatkan pembulian ialah: rendahnya penyeliaan semasa rehat, kurangnya tindakbalas dari murid-murid yang tidak terlibat dengan pembulian, tiada undang-undang yang nyata terhadap buli, penglibatan pengetua yang rendah, kurang komunikasi di antara guru dengan pengetua dan murid yang terlibat dan penglibatan guru dalam membuat keputusan. Faktor keluarga yang terlibat; kurangnya hubungan kemesraan dan penglibatan, gagal menghadkan persekitaran tingkahlaku agresif, tidak konsisten dalam memberi hukuman dan hukuman yang kejam serta perseonaliti kanak-kanak itu sendiri.
Olweus (1991), dalam Allan, J. (1996) telah mengenalpasti 4 faktor yang penting dalam menyumbangkan perkembangan tingkahlaku buli: (a) sikap emosi negatif yang  diamalkan oleh penjaga diawal umur kanak-kanak, dicirikan melalui kurang kemesraan dan penglibatan, (b) membiarkan tingkahlaku agresif yang dilakukan kanak-kanak oleh penjaganya hingga tiada batasan yang jelas, (c) kaedah power-assertive semasa penjagaan kanak-kanak, contohnya penderaan fizikal dan penampilan emosi keganasan, (d) sikap suka meradang, aktif dan panas baran terhadap kanak-kanak lebih mudah membina  pola-pola tingkahlaku agresif. Wendy Schwartz, (1994) pula menyatakan remaja yang tidak tahu caranya untuk berurusan dengan perselisihan faham akan selalu menjadi mangsa pembulian.

Rasional

Sekolah merupakan institusi yang bertanggungjawab untuk memperkembangkan potensi individu. Sehubungan dengan itu, pelbagai aktiviti dijalankan oleh pihak sekolah sama ada di dalam atau pun di luar kawasan sekolah yang bertujuan untuk memberikan sebanyak mungkin pendedahan dan pengalaman kepada murid.
Walaubagaimana pun aktiviti yang dijalankan perlu mengambil kira aspek keselamatan supaya ianya berjalan dengan sempurna dan mencapai matlamatnya. Kita sering membincangkan musibah yang bakal diterima oleh pelajar akibat perbuatan orang luar, tanpa melihat musibah yang dilakukan oleh pelajar sendiri. Oleh itu pihak sekolah perlu mengambil langkah-langkah perlu bagi menghindari pembulian di sekolah. Justeru, tatacara tindakan pembulian perlu disediakan supaya semua pihak faham apakah tindakan yang perlu dilakukan supaya pembulian dapat dihindarkan.


Objektif

Ø  Mengenalpasti punca-punca buli.
Ø  Menyediakan dan menyebarkan maklumat tentang buli.
Ø  Meningkatkan kesedaran tentang kesan daripada aktiviti buli.
Ø  Menyedia dan menyebarkan maklumat tentang tatacara tindakan terhadap masalah buli.
Ø  Semua pihak dapat mengambil tindakan berdasarkan tatacara yang disediakan.

PANDUAN MENGENALPASTI BULI DI SEKOLAH
Awasi tanda-tanda amaran ini.
Buli mungkin berlaku di kalangan murid-murid, jika mereka;
Ø  mempunyai masalah dalam memberi perhatian dan tumpuan di dalam kelas;
Ø  kerap kali menganggu aktiviti-aktiviti bilik darjah;
Ø  sentiasa melihat kekurangan sekolah;
Ø  suka bergaduh di antara satu sama lain di sekolah;
Ø  bertindakbalas terhadap mungkir janji, kritikan atau mempersenda dengan melampau dan perasaan marah, suka menyalahkan atau berdendam;
Ø  hanya mempunyai beberapa orang kawan, dan mereka kerap ditolak oleh murid lain kerana perangainya;
Ø  menjadikan idola murid-murid yang telah dikenalpasti sebagai tidak mengikut peraturan atau agresif.
Ø  kerap tidak mendengar nasihat orang dewasa;
Ø  tidak sensitif dengan perasaan orang lain;
Ø  sangat mudah kecewa;
Ø  suka merayau-rayau di sekolah tanpa tujuan; dan
Ø  menggunakan bahasa slanga.
 
TATACARA MENANGANI MASALAH BULI.
Panduan mengenalpasti buli

Perhatikan petanda-petandanya … Ambillah tindakan.
Dengan mengetahui petanda-petanda yang kanak-kanak telah mendapat kesusahan dan boleh mengetahui bagaimana hendak membantu mereka. Petanda-petanda itu adalah seperti berikut;
Murid-murid anda seringkali…
Ø  Kurang berminat terhadap sekolah.
Ø  Gagal menguasai kemahiran mengawal kemarahan.
Ø  Melihat diri sendiri sentiasa sebagai mangsa.
Ø  Menolak untuk mematuhi undang-undang dan peraturan.
Ø  Kerja tangan atau tulisan yang buruk atau digambarkan ngeri atau kemarahan.
Ø  Suka berbicara mengenai senjata atau keganasan.
Ø  Perasaan gundah atau mudah goyah.
Ø  Membawa senjata (sebarang senjata) ke sekolah.
Ø  Bercerita tentang sejarah buli sekolah.
Ø  Dipinggirkan atau cemburu yang melampau.
Ø  Melibatkan diri atau berminat dengan gang.
Ø  Mengasingkan diri daripada keluarga dan rakan-rakan.
Ø  Berbicara mengenai membawa senjata ke sekolah.

PANDUAN MENANGANI MASALAH BULI UNTUK GURU DAN IBUBAPA. 
Lebih banyak petanda-petanda ini dilihat, peluang yang lebih besar yang anak/murid memerlukan bantuan.

Jika anak/murid tidak mahu membincangkan petanda-petanda di atas bersama dengan anda, jumpa mereka yang berkaitan seperti guru, kaunselor, ketua agama, guru sukan, atau orang dewasa lain yang boleh memecahkan kebuntuan.

Tunjukkan yang orang lebih suka dan hormat kepada cara penyelesaian masalah berhemah berbanding dengan cara membuli dan jadikan cara penyelesaian masalah berhemah adalah cara kita.

Berbincang dengan mereka cara-cara menyelesaikan masalah tanpa keganasan.

Bantu mereka memahami bagaimana sakit dan seriousnya akibat tingkahlaku keganasan dalam kehidupan sebenar.

Mengadakan hubungan yang positif dengan mendengar segala yang dicurahkan, mengenalpasti punca masalah dan menyedarkan pembuli kepada sesuatu yang tidak disedari.

Sentiasa menunjukkan model tingkahlaku yang baik atau diingini.

Elakkan anak/murid daripada kerisauan dengan membentuk keyakinan diri dan diberi peluang mengembangkan potensinya ke arah maksimum.

Anak/Murid memerlukan layanan mesra dan hormat, mendengar secara aktif luahan perasaannya, pimpin mereka ke arah mencapai wawasan dan bantu mereka membuat pilihan yang konstruktif.

Elakkan komunikasi yang bersifat ‘faulty’ atau merosakkan dan peranan yang tidak jelas dan sikap yang tidak berkompromi.
  
PANDUAN MENANGANI MASALAH BULI UNTUK MURID.
Murid-murid yang telah terlibat dengan buli sama ada memjadi pembuli atau mangsa buli sila berbuat demikian;

Ø  Dapatkan bantuan adalah cara yang betul.

q  Luahkan masalah anda kepada ahli keluarga;

q  Bawa berbincang dengan guru;

q  Berbincanglah dengan rakan sejiwa;

q  Bercakaplah dengan kaunselor;

q  Buat rujukan ke klinik kesihatan mental;

q  Berjumpa dengan doktor keluarga;

q  Berjumpa  pakar psikologi;

q  Ikuti nasihat ketua agama atau imam;

q  Beri maklumat kepada GPK Hem, GPK 1 atau Pengetua/Guru Besar;
 
Ø  Lebih cepat anda mendapatkan bantuan, lebih mudah masalah anda diselesaikan.
Bibliografi
Allan, J., et.al., (1996). Exerpted from Violence Prevention: A Group Discussion Approach ©1996 ERIC/CASS.

American Academy of Pediatrics, American Psychological Associatio, (1996). eric-cue@columbia.edu

Rohaty Mohd Majzub, 1991, Disiplin Dalam Pendidikan, Kuala Lumpur, Nurin Enterprise.

Schwartz, W. (1994). How To Help Your Child Avoid Violent Conflicts. eric-cue@columbia.edu

Times Lingua, (1993). English – Bahasa Melayu Dictionary, Singapura, Times Pub. Limited.

U.S. National Institute of Justice.  (1996). Crime and Violence in Our Schoolsan Overview of Statistics eric-cue@columbia.edu