Thursday 10 March 2011

Artikel 7 : Reka Bentuk Instruksi Berorientasi Bilik Darjah


REKABENTUK INSTRUKSI (INSTRUCTIONAL DESIGN) BERORIENTASIKAN BILIK DARJAH DAN APLIKASI MODEL ASSURE BAGI SUBJEK MATEMATIK


Nazila bte Abdullah
SMK Bandar Putra, Kulaijaya.

1.      PENGENALAN

Rekabentuk instruksi (instructional design) digunakan sebagai alat konsep dan komunikasi bagi menganalisis, merekabentuk, membangun dan menilai pembelajaran berpandu. Ia lebih lengkap dari aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan penyediaan spesifikasi pengajaran, penentuan strategi-strategi pengarahan saat-demi-saat, pengaturan (sequencing), pembekalan elemen-elemen motivasi dan penentuan tindakan-tindakan pelajar Gustafson dan Branch (1997).


2.      DEFINASI DAN KATEGORI MODEL REKABENTUK INSTRUKSI (ID)

2.1              Definasi

Seels and Richey, (1994) mentakrifkan ID sebagai prosedur yang tersusun yang mengandungi langkah-langkah menganalisis, merekabentuk, membangun, melaksana dan menilai arahan. AECT (1977) mentakrifkan ID sebagai pendekatan sistematik bagi rekabentuk, pembuatan, penilaian dan penggunaan sistem-sistem arahan yang lengkap termasuk semua komponen yang bersesuaian dan bentuk pengurusannya:


2.2       Konsep Model Awal Rekabentuk Instruksi

Gustafson dan Branch (1997) menegaskan ID mengandungi empat aktiviti utama
a.       analisis terhadap senario keperluan pelajar
b.      merekabentuk satu set spesifikasi untuk suasana yang efektif, berkesan dan relevan bagi pelajar
c.       pembangunan semua bahan bagi pelajar dan pengurusan
d.      penilaian formatif dan summatif ke atas sistem yang dibangunkan

Elemen-elemen utama rekabentuk instruksi ialah seperti yang ditunjukkan di dalam Rajah1 berikut.



Model-model awal rekabentuk instruksi ialah model Silvern (1965), model Barson (1967) dan model Hamreus (1968). Model Silvern (1965) bersandarkan kepada teori sistem umum dan dibangunkan untuk industri aeroangkasa dan ketenteraan. Model Barson’s (1967) memfokus kepada memperbaiki kursus-kursus di peringkat kolej. Model Hamreus (1968) pula ialah model dua pringkat, ’maxi’ dan ’mini’. Maxi bagi versi operasi yang lengkap manakala mini bagi versi mudah untuk berkomunikasi dengan pelanggan.

Selain itu, model ADDIE merupakan antara model reka bentuk instruksi yang sering menjadi asas kepada model reka bentuk instruksi yang lain. Model ADDIE (Rossett, 1987) diwakili oleh 5 fasa utama iaitu fasa analisis, fasa reka bentuk, fasa pembangunan, fasa pelaksanaan dan fasa penilaian.



2.3       Kategori-Kategori Model Rekabentuk Instruksi

Gustafson dan Branch (1997) menyebutkan bahawa model-model rekabentuk instruksi boleh dibahagikan kepada 3 kategori. Kategori pertama ialah model-model yang berorientasikan bilik darjah, kedua ialah yang berorientasikan produk dan ketiga ialah yang berorientasikan sistem.



Model Heinich, Molenda, Russell dan Smaldino (1996) (Model ASSURE), Gerlach dan Ely (1980), model Kemp and Morrison (1994) dan model Reiser dan Dick (1996) adalah contoh-contoh model bagi kategori yang berorientasikan bilik darjah. Model jenis ini ditujukan untuk penggunaan guru-guru sekolah. Ia menawarkan sistem pembangunan ID dalam perspektif bilik darjah. Setiap ahli yang terlibat mengandaikan saiz aktiviti yang dirancang adalah kecil, jumlah sumber yang ada adalah terhad, ia lebih kepada usaha individu dan bukan usaha kumpulan, guru bukan pembangun ID yang terlatih, dan guru terhad kepada memilih dan menyesuaikan bahan-bahan sedia ada sahaja, hanya sedikit masa akan ditumpukan kepada front-end analysis, suasana pembelajaran adalah ’low-tech’, jumlah percubaan dan peningkatan mutu adalah terhad, jumlah penyebaran di luar bilik darjah adalah rendah.

Model Bergman dan Moore (1990) adalah model yang dibangunkan beroriantasikan pembangunan produk yang boleh digunakan oleh kumpulan yang dianggotai oleh pembangun ID, staf pembuatan, pengaturcara komputer dan pengurus projek yang ingin membangunkan produk ID berasaskan multimedia. Andaian bagi model jenis ini ialah produk akan dihasilkan setiap beberapa jam atau beberapa hari, jumlah sumber tinggi, dan ahli kumpulan adalah profesional dan terlatih. Kumpulan yang terlibat akan menghasilkan produk yang asli dan dipasarkan secara komersil, analisis ’front-end’ adalah intensif, percubaan dan pembaikkan adalah berterusan dan pengedara produk adalah biasa.

Model-model Barson’s (1967), Dick dan Carey (1996), Smith dan Regan (1993) dan Gagne, Briggs dan Wager (1992) adalah dari jenis yang berorientasikan sistem. Ia ditujukan untuk digunakan dalam berbagai bentuk organisasi untuk membangunkan ID yang khusus bagi tujuan-tujuan tertentu. Branson (1975) ID model – dibangunkan untuk latihan ketenteraan untuk usaha pembangunan beroriantasikan kumpulan dan pada skala yang besar. Model-model ini mengandaikan bahawa jumlah instruksi besar. Jumlah sumber yang ada juga besar dan kumpulan yang terlibat adalah profesional dan terlatih. Produk yang dihasilkan adalah asli dan bukan asli. Analisis ’front-end’ dan juga percubaan dan pembaikkan adalah intensif. Penyebaran dan penggunaan adalah meluas dan selalunya tidak melibatkan pembangun ID itu sendiri.


3.      BEBERAPA MODEL REKABENTUK INSTRUKSI BERORIENTASIKAN BILIK DARJAH

3.1       Model Heinich, Molenda, Russell dan Smaldino (1996) (Model ASSURE)
ASSURE yang direka dari enam huruf bermaksud memastikan sesuatu itu berlaku:
A         - Analyse learner (Analisis pelajar)
S          - State objectives (Nyatakan objektif)
S          - Select method, media and materials (Pilih kaedah, media dan bahan)
U         - Utilise media and materials (Gunakan media dan bahan)
R         - Require learner participation (Dorong penglibatan pelajar)
E          - Evaluate and revise (Nilai dan semak)

Mengikut Norlida dan Zulkifli (2003) perincian bagi ASSURE adalah seperti berikut:


Analisis Pelajar
Tiga ciri pelajar yang mungkin ialah (i) ciri-ciri umum seperti umur, latarbelakang sosio-ekonomi, dan lain-lain. (ii) kompetensi khusus peringkat termasuk yang berkait dengan kemahiran sedia ada pelajar, dan (iii) gaya pembelajaran pelajar termasuk tanggapan terhadap berinteraksi dan bertindak balas semasa belajar.

Nyatakan Objektif
Objektif merupakan tahap minimum tentang apakah yang sepatutnya dipelajari oleh pelajar daripada pengajaran yang dijalankan.

Pilih Kaedah, Media dan Bahan
Kaedah dipilih supaya sesuai dengan tugasan manakala media dan bahan dipilih supaya ia sepadan dengan kurikulum, tepat dan terkini, bahasa yang jelas, menarik minat dan mencetuskan motivasi, menggalakkan penglibatan pelajar, mempunyai kualiti teknikal yang baik, terbukti berkesan, bebas dari bias.

Gunakan Media dan Bahan
Penggunaan media dan bahan yang baik melibatkan ’preview’ penyediaan bahan, penyediaan persekitaran, penyediaan pelajar dan penyediaan pengalaman pembelajaran.

Libatkan Pelajar
Untuk memastikan proses pembelajaran berlaku pelajar perlu dilibatkan dalam aktiviti pembelajaran. Aktiviti-aktiviti yang dicadangkan ialah membuat latihan, perbincangan, latih tubi, kuiz, projek dan sebagainya.

Nilai dan Semak
Penilaian dijalankan sebelum, semasa dan selepas pengajaran. Ia melibatkan aspek-aspek pencapaian pelajar, pembelajaran yang dihasilkan, menilai media dan kaedah, kualiti media, penggunaan guru dan penggunaan murid.


3.2              Model Gerlach dan Ely (1980),

Rajah 2 menunjukkan elemen-elemen utama model Gerlach dan Ely (1980). Ia dimulakan dengan penentuan kandungan dan spesifikasi tujuan. Ini diikuti dengan penilaian perangai pelajar. Strategi kemudiannya dipilih, pelajar-pelajar dibahagi-bahagikan mengikut kumpulan bagi menyesuaikan mereka kepada sumber yang ada, kaedah pengajaran dan keupayaan, pembahagian masa dan pemilihan sumber dan bahan. Prestasi pelajar kemudian dinilai dan ini akan menjadi sumber maklum balas kepada guru.



3.3       Model Kemp, Morrison dan Ross (1994)

Model Kemp, Morisson dan Ross (1994) dibangunkan dengan pendekatan yang memfokus kepada pelajar dan bukan isi kandungan. Perkara-perkara yang diberi perhatian ialah:
i.                    kesediaan individu untuk mencapai objektif pembelajaran
ii.                  kaedah pengajaran dan pembelajaran yang paling efektif sesuai untuk mencapai objektif pengajaran dan ciri-ciri pelajar
iii.                media dan bahan yang sesuai
iv.                sokongan yang diperlukan selain dari guru yang mengajar
v.                  bagaimana menentukan tercapainya objektif pengajaran
vi.                bagaimana pembaikkan perlu dibuat jika perlaksanaan tidak memuaskan

Merujuk kepada Rajah 3, langkah-langkah penyediaan ID dengan model Kemp, Morisson dan Ross (1994) ialah:
i.                    mengenalpasti masalah instruksi
ii.                  menyelidik dan menilai ciri-ciri pelajar
iii.                mengenalpasti isi kandungan subjek dan menganalisis tugas
iv.                menyebutkan objektif instruksi
v.                  menyusun mengikut tertib supaya pengajaran adalah logik
vi.                merekabentuk strategi-strategi instruksi
vii.              merancang penyampaian instruksi
viii.            membangunkan alat penilaian pencapaian objektif
ix.                memilih sumber untuk menyokong instruksi dan pemelajaran




3.4       Model Reiser dan Dick (1996)

Model Reiser dan Dick (1996) memperkenalkan penggunaan istilah ’rancangan’ dalam pembangunan model berorientasikan bilik darjah. Menurut Reiser dan Dick (1996) guru-guru yang ingin menggunakan model mereka perlu menepati empat prinsip berikut:
i.                    mulakan perancangan proses dengan mengenalpasti tujuan umum dan objektif yang spesifik yang perlu dicapai oleh pelajar
ii.                  rancang aktiviti-aktiviti instruksi yang boleh membantu pelajar mencapai objektif
iii.                bangunkan alat-alat penilaian ukur pencapaian objektif
iv.                ulangkaji instruksi berdasarkan prestasi pelajar bagi setiap objektif dan atitud pelajar terhadap aktiviti-aktiviti instruksi

Prinsip-prinsip ini dapat ditunjukan seperti di dalam Rajah 4.


Model Reiser dan Dick (1996) dipersembahkan dalam format bab (chapter format) seperti berikut:
i.                    senario masalah – diskripsi situasi pengajaran biasa. Senario memberikan tema kepada aktiviti-aktiviti perancangan instruksi
ii.                  objektif bab – menyatakan tentang apa yang seorang boleh lakukan selepas mengikuti pelajaran yang akan disampaikan
iii.                maklumat latarbelakang – termasuk maklumat yang mengaitkan antara bab dan meletakkan prosedur dalam rangka kerja yang lebih besar
iv.                konsep utama dan contoh-contoh – idea dan konsep dipersembahkan dengan disertakan contoh penggunaannya.
v.                  latihan dan maklum balas – termasuk berbagai latihan yang berkait langsung dengan objektif bab. Ia memberi peluang membandingkan respon pembaca ke atas maklum balas pada teks.
vi.                aplikasi – memandu pembaca membangunkan bahagian-bahagian tertentu rancangan instruksi.
vii.              ringkasan – meringkaskan idea-idea utama yang dipersembahkan.





4.      KAEDAH MEMBANDINGKAN MODEL-MODEL REKABENTUK INSTRUKSI

Gustafson dan Branch (1997) menunjukkan cara membandingkan ketiga-tiga kategori model ID. Seperti yang dijelaskan di dalam Jadual 1, sembilan kriteria telah digunakan untuk perbandingan.


 Gustafson dan Branch (1997) juga telah menggunakan kaedah perbandingan yang sama untuk memilih model-model terbaik dari kategori berorientasikan bilik darjah. Di antara kenyataan-kenyataan pemilihan yang Gustafson dan Branch (1997) keluarkan adalah seperti berikut:
i.                    Model Heinich, Molenda, Russell dan Smaldino (1996) memfokus kepada instruksi satu-sama-satu (individu)
ii.                  Model Gerlach dan Ely (1980) memfokus kepada pembangunan kandungan.
iii.                Model Kemp, Morrison dan Ross (1994) memfokus kepada pelajar
iv.                Model Reiser dan Dick (1996) memfokus kepada perancangan
v.                  Model-model Heinich, Molenda, Russell dan Smaldino (1996) (Model ASSURE), Gerlach dan Ely (1980), Kemp and Morrison (1994) dan Reiser dan Dick (1996) didapati lebih mudah difahami dan dapat diterima oleh guru
vi.                Model Heinich, Molenda, Russell dan Smaldino (1996) adalah lebih mudah penggunaannya berbanding model-model berorientasikan bilik darjah yang lain.


5.      APLIKASI MODEL ASSURE BAGI SUBJEK MATEMATIK


Model ASSURE (Heinich, Molenda & Russell, 1981), iaitu pengajaran dan pembelajaran yang berorientasikan bilik darjah dipilih bagi mereka bentuk rancangan pengajaran Matematik kerana model ini amat sesuai serta boleh memenuhi keenan-enam elemen asas yang terdapat dalam reka bentuk pengajaran bagi pencapaian objektif pengajaran dan pembelajaran.


Model ASSURE yang merupakan jalinan kata kunci pada pangkal perkataan yang mewakili setiap elemen dalam model ini iaitu A.S.S.U.R.E.

A         - Analyse learner (Analisis pelajar)
S          - State objectives (Nyatakan objektif)
S          - Select method, media and materials (Pilih kaedah, media dan bahan)
U         - Utilise media and materials (Gunakan media dan bahan)
R         - Require learner participation (Dorong penglibatan pelajar)
E          - Evaluate and revise (Nilai dan semak)

Berdasarkan model ini guru dapat menganalisis ciri pelajar, menyatakan objektif pengajaran secara khusus, memilih kaedah, media dan bahan serta melibatkan pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran dan seterusnya guru akan menilai dan menyemak semula keseluruhan proses instruksi.

Dalam fasa pemilihan media, kaedah dan bahan pengajaran, strategi pengajaran yang paling sesuai perlu ditentukan. Needham (1987) mencadangkan strategi mengajaran berdasarkan Model Konstruktivisme 5 fasa iaitu fasa orientasi, pencetusan idea, penstrukturan semula idea, aplikasi idea dan refleksi. Tema utama strategi ini mengutarakan bahawa pembelajaran merupakan suatu proses yang aktif yang mana pelajar membina pengetahuan atau konsep baru berasaskan pengalaman. Pendekatan ini adalah berdasarkan pandangan konstruktivisme yang bertanggapan seseorang itu dapat membina pengetahuan sendiri secara aktif dengan cara membandingkan maklumat baru dengan pemahaman yang sedia ada. Cara ini digunakan untuk menyelesaikan sebarang perselisihan idea demi mencapai pemahaman baru (Johnson &7 Gott, 1996).

Menurut Karakirik dan Durmus (1997), pelajar membina struktur matematik yang kompleks dan abstrak secara aktif pada persekitaran konstruktivist. Mereka meneroka idea matematik dengan melibatkan diri, berfikir dan membuat refleksi. Justeru guru perlu menyediakan persekitaran yang membolehkan mereka berbincang, memberikan idea dan membuat refleksi. Kemudahan teknologi komputer juga memberikan peluang kepada guru untuk menjadikan  suasana pembelajaran lebih menarik.



6.      PENUTUP

Reka bentuk instruksi pada asasnya adalah satu proses sistematik bagi menterjemahkan prinsip-prinsip umum sesuatu pengajaran dan pembelajaran kepada perancangan bagi menghasilkan bahan atau media bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran. Dalam reka bantuk instruksi pelbagai aspek perlu diambil kira dan antara aspek yang utama ialah aspek-aspek teori pembelajaran, model reka bentuk, strategi pembelajaran dan sebagainya. Ini bagi memastikan kualiti bahan atau media yang terhasil sesuai dengan kumpulan sasaran.



Rujukan

AECT (1977), Educational technology definitions and glossary of terms, Association of Educational Communication and Technology, Washington, DC
Barson, J., (1967), Instructional System Development: A Demonstration and Evaluation Project – Final Report, East Lansing, MI: Michigan State University, (ED 020 673), June
Bergman, R dan Moore, T. (1990), Managing interactive video/multimedia projects, Englewood Cliffs, NJ: Educational Technology Publication.
Bransford, J. (1994). Who ya gonna call? Thoughts about teaching problem solving. In P. Hallinger, K. Lithwood, & J. Murphy (Eds.), Cognitive perspectives on educational leadership. New York: Teacher's College Press.
Branson, R. K., (1975), Interservice procedure for instructional systems development: Executive summary and model, Tallahassee, FL: Centre for Educational Technology, Florida State University, (National Technical Information Services, 5285 Port Royale Rd., Sprongfield, VA 22161, Document No. AD-A019 486 to AD-019 490)
Dick, W. dan Carey, L (1996), The systematic design of instructions (4th ed.) New York, Harper Collins College Publisher.
Gagne, R. M., Briggs, L. J. dan Wager, W. W., (1992), Principle of instructional design, (4th ed.) New York, Holts, Rinehart and Winston.
Gagne, R.M. (1966). The conditions of learning (1st ed.). New York: Holt, Rinehart and Winston.
Gerlach, V. S. dan Ely, D. P., (1980), Teaching and media: A systematic approach, (2nd ed.) Englewood Cliffs, NJ: Prentice-Hall Incorporated.
Gustafson, K. L. dan Branch, R. M., (1997), Survey of Instructional Development Models: Third Edition, ERIC Clearinghouse of Information and Technology, Syracuse, New York,
Hamreus, D., (1968), The systems approach to instructional development. The contribution of behavioural science to instructional technology, Monmouth, OR: Oregon State System of Higher Education, Teaching Research Division, (ED 041 488)
Heinich, R., Molenda, M., Russell, J. dan Smaldino, S. (1996), Instructional media and technology for learning, 5th edition, New York, McMillan.
Jonassen, D. H., (1997), Instructional Design Models for Well-Structured and Ill-Structured Problem-Solving Learning Outcomes, ETR&D, Vol, 45, No. 1, 1997, pp. 65-94 ISSN 1042-1629
Kemp, J. E., Morisson, G. R. dan Ross, S. M., (1994), Designing efective instruction, New York, Merrill.
Karakirik, E., and Durmus, S., (1997), A Framework For Designing Computer Assisted Constructivist Learning Activities, Fourth International Educational Technologies Conferences, Abant Izzet Baysal University, Turkey.
Needham, R. (1987), Teaching Strategies for Developing Understanding in Science. Leeds, Children’s Learning in Science Project, University of Leeds.
Norlida, A. dan Zulkifli, A. L., (2003), Prinsip Teknologi Pengajaran Model ASSURE, Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Kukup, Pontian Johor.
Seels, B. and Richey, R., (1994), Instructional Technology: The definitions and domains of the fields, Washington, DC., Association for Educational Communication and Technology.
Silvern, L. C., (1965), Basic Analysis, Los Angeles, CA: Education and Training Consultants Company.
Smith, P. L. dan Regan, T. J., (1993), Instructional design, New York,McMillan.
Greeno, J. (1978). Natures of problem-solving abilities. In W. Estes (Ed.), Handbook of learning and cognitive processes (pp. 239-270). Hillsdale, NJ: Lawrence Erlbaum Associates.