Sunday 6 March 2011

Artikel 5 : Peranan Pemimpin Dalam Menerajui Perubahan Berteraskan ICT


Peranan Pemimpin Dalam Menerajui Perubahan Berteraskan ICT

Fareeza bt Ab Rasip
(Pelatih Praktikum NPQEL IAB di SMK Bandar Putra 2009)
Pengenalan

Negara kita Malaysia mempunyai wawasan untuk mencapai status negara maju sekali gus bermaksud mempunyai masyarakat yang maju dalam semua aspek terutamanya dalam bidang teknologi dan saintifik. Untuk merealisasikan wawasan ini, pastinya menuntut anjakan paradigma dan kesediaan kepada perubahan yang bukan sedikit. Dalam hal ini, pembangunan sumber manusia negara adalah amat penting dan di sinilah bidang pendidikan menjadi agen terpenting dalam usaha pencapaian matlamat. Pendidikan di Malaysia mempunyai gagasan menyediakan pendidikan bertaraf dunia di dalam aspirasi Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) untuk melahirkan minda ″world class″ yang sekali gus akan mengangkat negara ke taraf negara maju.

Rentetan daripada ini  bidang pendidikan khususnya di Malaysia berdepan dengan pelbagai perubahan dan cabaran yang semakin besar dan getir dalam menunaikan fungsi dan tanggungjawabnya terhadap masyarakat amnya.  Adalah amat penting bidang pendidikan bergerak jika tidak mendahului teknologi dunia tetapi perlu bergerak sama pantas dengan pembangunan dan perkembangan teknologi  moden yang sangat pesat.  Maka dengan ini evolusi dan perubahan pendidikan adalah bersifat dinamik dan tidak jumud. Ini adalah amat penting agar bidang pendidikan terus relevan dan menepati fungsinya dalam melahirkan generasi yang mapan di dalam zamannya. Dalam era globalisasi, kawasan tanpa sempadan dan maklumat di hujung jari, perubahan adalah sesuatu keperluan, pasti akan berlaku dan tidak dapat dielakkan.

Arus perubahan ini perlu diharungi oleh warga pendidik dengan persiapan yang mantap dari segi fizikal, mental, kemahiran dan pengetahuan seiring dengan sifat futuristik  dan peningkatan teknologi yang tinggi dan pelbagai dalam semua bidang.  Pemimpin pendidikan  di sekolah ialah orang yang bertanggungjawab secara langsung mengambil peranan penting dalam mengupayakan semua usaha ke atas pengoperasian, pelaksanaan dasar, perubahan dan inovasi yang telah dirancang dan ingin dicapai. Oleh yang demikian, pengurusan pendidikan alaf baru adalah sinonim dengan pelbagai jenis dan ragam perubahan yang terarah kepada keperluan dan tuntutan semasa.


Keperluan Kepada Perubahan

Artikel tulisan Mohd Izham Mohd Hamzah, Ph.D dan Norazah Mohd Nordin, Ph.D (2007) membincangkan bahawa perubahan yang berlaku dalam pendidikan adalah bermatlamat ke arah meningkatkan keberkesanannya kepada klien, iaitu para pelajar. Memetik daripadanya, Sufean (2004) menerangkan perubahan mempunyai erti atau konotasi peralihan, anjakan, transformasi, inovasi, adaptasi, atau reformasi, dan kesemua istilah ini merujuk kepada keadaan yang terubah daripada keadaan sedia ada kepada suatu keadaan yang lebih baik dan maju. Secara umumnya apa yang dapat difahami  daripada Hersey dan Blanchard (1983)  tentang perubahan ialah terdapat tujuh jenis tekanan yang mendesak kepada perubahan iaitu paksaan, ganjaran, kepakaran, kuasa sah, personel / rujukan, kuasa maklumat dan kuasa perhubungan.

Michael Fullan ( 1998 ) pula menegaskan tekanan yang membawa kepada perubahan dalam pendidikan adalah :
1.            Persekitaran yang kompleks memberikan tekanan untuk berubah.
2.            Sekolah bukan unit yang terpencil, sebaliknya perlu mempunyai komunikasi dengan masyarakat sekelilingnya.
3.            Dunia yang semakin rencam sifatnya mempunyai kepelbagaian yang memerlukan lebih fleksibiliti.
4.            Kejuruteraan dan teknologi komputer serta teknologi komunikasi telah menembusi dinding sekolah.
5.            Sekolah merupakan harapan terakhir untuk menyelamatkan dan mencipta semula masyarakat.
6.            Guru – guru dapat membantu ke arah generasi cemerlang di masa hadapan.
7.            Pendidikan adalah penting untuk demokrasi. Warganegara yang berpendidikan adalah lebih mudah untuk diurus.
8.            Persaingan  dalam pasaran, pilihan keluarga dan pengurusan individu sendiri.
9.            Pekerjaan menanti pelajar. Pendidikan sebagai persiapan atau kilang mengeluarkan tenaga kerja mahir dan berhemah tinggi. Sungguhpun robot boleh menggantikan tenaga manusia, tetapi manusia lebih kreatif dan mudah diubahsuai.
10.        Kecelaruan struktur sedia ada.
Faktor – faktor yang memberi tekanan untuk perubahan akan terus memastikan bahawa pendidikan yang kita sediakan untuk generasi seterusnya adalah sesuai, relevan dan berkesan. Untuk memastikan kelangsungan ini, pemimpin pendidikan ialah orang yang menggalas tanggungjawab tersebut dan perlu sentiasa menyediakan dan melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang berkenaan.

Perkembangan  ICT dan Peranan Pemimpin Dalam Memacu Perubahan

Dunia Information Communication and Technology (ICT) ataupun Teknologi Komunikasi dan Maklumat (TMK) di dunia telah membawa arus perubahan yang begitu mengesankan dalam kehidupan manusia sejagat.  Ledakan maklumat dan teknologi yang begitu besar terus menjadi elemen kebergantungan kita dalam menjalani kehidupan.  Evolusi ini menuntut masyarakat seluruh dunia menguasai kemahiran yang bersifat futuristik dan berteknologi tinggi ini dalam berkomunikasi, akses capaian dan penyampaian maklumat serta pelbagai lagi bentuk adaptasi sebagai kemahiran survival era baru.

Malaysia pastinya tidak terkecuali menerima kesan dan bahang perkembangan digital ini. Masyarakat semakin menyedari bahawa kompetensi penguasaan teknologi adalah suatu yang mandatori dalam menentukan agar mereka terus kompetetif dalam pasaran moden. 

Kementerian Pelajaran Malaysia yang menyedari hakikat ini merangka dan melaksana pelbagai usaha untuk menyediakan pelajar ke arah kompeten dengan teknologi semasa seterusnya akan melahirkan masyarakat berteknologi seiring dengan perkembangan  era kemajuan yang begitu pesat dan serba pantas.  Sehubungan dengan itu, adalah satu keperluan untuk menyediakan suasana pembelajaran yang kondusif serta  lebih cekap dan berkesan untuk kliennya iaitu para pelajar.  Kertas cadangan Rossafri Mohamad dan Balakrishnan A/L Munindy  (2007) membincangkan bahawa perbelanjaan yang besar telah diperuntukkan dalam RMK Ke – 8 untuk memenuhi tuntutan persaingan teknologi ini yang telah menelan belanja jutaan ringgit.  Hasilnya, antara perkembangan yang telah dapat dijana oleh Kementerian Pelajaran Malaysia adalah :

  • Sekolah Bestari : Satu Aplikasi Perdana Koridor Raya Multimedia dan pelaksanaannya menekankan penggunaan ICT sebagai pengupayaan pedagogi dan pengurusan sekolah. Mula dirintis seawal tahun 1999 kepada 88 buah sekolah di seluruh Malaysia. 
  • SchoolNet : Projek penyediaan prasarana jalur lebar untuk capaian ke Internet di semua sekolah bagi tujuan mengatasi jurang digital. Sehingga tahun 2005 sebanyak 9285 sekolah telah dirangkaikan.
  • Projek MySchoolNet : Projek bagi membudayakan penggunaan Internet dalam P&P melalui pembangunan laman web yang menyediakan bahan sumber pendidikan untuk pelajar, guru dan pentadbir sekolah seperti modul P&P, perisian, sukatan pelajaran, berita forum dan program kolaboratif.
  • Makmal Pengkomputeran : Penyediaan makmal komputer dan membekalkan komputer serta pelayan (server) kepada sekolah.
  • TV Pendidikan (TVP) : Bagi membantu dan mempelbagai proses P&P di sekolah mulai tahun 2000. Rancangan ini dibangunkan berasaskan kurikulum  dan dipancarkan melalui saluran ASTRO sehingga tahun 2005.
  • P&P Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) : Diperkenalkan pada tahun 2003 secara berperingkat, dimulai dengan Tahun 1, Tingkatan 1 dan Tingkatan  6 Rendah. Peralatan ICT yang begitu ekstensif seperti komputer riba, projektor LCD dan DLP, skrin, troli, TV, pencetak serta perisian telah dibekalkan kepada sekolah dan guru – guru yang terlibat.
  • Mata Pelajaran ICT : Mata pelajaran Information and Communication Technology, Grafik berkomputer, Produksi Multimedia, Fundamentals of Programming, Program Development Tools, Pemesinan Berkomputer, Aplikasi Komputer dalam Perniagaan, Animasi dan Rekabentuk Penerbitan, Penerbitan Multimedia Kreatif, Sistem Sokongan Komputer, Sistem Sokongan rangkaian dan Program Literasi ICT.
  • Latihan ICT untuk guru : Pelbagai program latihan untuk meningkatkan kemahiran guru telah disediakan dan dilaksanakan.
  • Projek Pengkomputeran Pengurusan : Menyediakan sistem aplikasi dan infrastruktur ICT untuk menyokong sistem pengurusan KPM  yang meliputi Rangkaian KPMNet, Aplikasi Sistem Pentadbiran, Aplikasi Pengurusan Pendidikan, Pembangunan Sistem Penyediaan Infrastruktur, Sistem Pengurusan Maklumat Pendidikan (EMIS) dan Sistem Pemantauan Perancangan Sekolah. Pelaksanaan Aplikasi Pendaftaran Peperiksaan atas talian dimulakan pada tahun 2003 bagi mempercepatkan proses pendaftaran peperiksaan diikuti dengan Aplikasi Sistem Maklumat Murid (SMM) yang diperkenalkan pada tahun 2004.

Usaha Kementerian Pelajaran Malaysia ke arah kesinambungan pemantapan teknologi didalam sistem pendidikan di Malaysia terus digarap dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006 – 2010. Beberapa teras strategik daripada enam strategik PIPP  menekankan kepada pencapaian matlamat peningkatan teknologi dan ICT. Melalui teras kedua iaitu Membangun Modal Insan, berhasrat melahirkan pelajar yang kompeten dalam bidang sains dan teknologi, inovatif dan kreatif seterusnya mempunyai nilai kebolehpasaran yang tinggi. Teras ketiga iaitu Memperkasakan Sekolah Kebangsaan antara lain  menekankan usaha melengkapi sekolah – sekolah kebangsaan dengan kemudahan ICT agar terus berdaya saing dan seterusnya teras keempat Merapatkan Jurang Pendidikan yang menjurus kepada usaha – usaha mengurangkan jurang digital antara pelajar khususnya pelajar bandar dengan luar bandar.

Perkembangan dan senarai usaha di atas memperlihatkan betapa seriusnya kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia dalam melahirkan masyarakat yang mapan teknologi agar tidak ketinggalan  dalam era globalisasi dunia. Namun begitu semua ini tidak akan berjaya direalisasikan sekiranya tidak dapat disambut oleh pemimpin pendidikan yang menjurus kepada kemampuan pengetua dan guru besar di sekolah merubah kepimpinan dan pengurusan seiring dengan kemajuan ICT. Kepelbagaian teknologi yang semakin sofistikated telah membawa impak yang bukan sedikit terhadap fungsi dan tanggungjawab pemimpin di sekolah. Peneraju utama organisasi pelaksana pendidikan bukan sahaja perlu boleh menangani arus ini malah berupaya membawa senario pendidikan di sekolahnya ke arah perubahan yang memerlukan kepada anjakan paradigma daripada kaedah kepemimpinan dan pengurusan tradisional yang diamalkan sekian lama.

Seorang pemimpin harus mempunyai strategi dan pengetahuan dalam menerajui perubahan yang dihasratkan. Oleh itu, adalah sangat penting untuk pengetua atau guru besar bersikap proaktif dan positif dalam meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dirinya sendiri di dalam bidang ICT  agar boleh menjadi pemangkin kepada penyebaran pengaruh perubahan yang diinginkan.

Pemimpin sekolah adalah personel yang perlu bertindak sebagai pemimpin perubahan, penyokong kepada perkembangan staf dan pemimpin harus menjadi model pengguna ICT.  Pemimpin harus mempunyai kompetensi dalam mengimplimentasi dan mengintegrasi ICT bagi meningkatkan keberkesanan sebagai pemimpin teknologi di sekolah.  Flanagan dan Jacobson (2003) menyatakan bahawa pengalaman-pengalaman kejayaan dalam implementasi ICT dapat memberikan panduan kepada pemimpin-pemimpin sekolah yang ingin mengimplemantasi ICT untuk membawa perubahan kepada sekolah. Amalan-amalan yang boleh membawa kepada kejayaan sekolah dengan mengintegrasikan ICT ialah penglibatan murid, perkongsian visi, kesamarataan akses, perkembangan profesional dan sistem rangkaian yang menyeluruh.

Tidak dinafikan bahawa persediaan infrastruktur teknologi adalah penting tetapi kepemimpinan dalam menerajui perubahan berasaskan ICT adalah lebih kritikal sebagai asas yang kukuh. Seperti yang dinyatakan oleh Kearsley dan Lynch (1992) bahawa kebolehan untuk membina visi serta membawa perubahan melalui implementasi ICT adalah elemen yang kritikal yang perlu ada pada pemimpin sekolah. Jelas sekali bahawa pengaruh kepimpinan adalah elemen penting yang menyokong serta menentukan halatuju perubahan dengan aspirasi visi, objektif dan juga inisiatif pembangunan profesional dalam implementasi dan integrasi ICT dari pelbagai aspek dunia pendidikan.

Menurut kajian di 8 buah sekolah rendah di Malaysia seperti yang dibincangkan oleh Zaini (2006) mendapati bahawa faktor – faktor utama yang menyokong pelaksanaan dasar ICT adalah kesedaran terhadap kepentingan ICT, kerjasama antara warga sekolah, peralatan yang lengkap, kursus dan pendedahan ICT kepada guru dan insentif untuk guru.  Ini menunjukkan satu penggemblengan warga organisasi sekolah yang bersepadu perlu dirangka dan dilaksanakan untuk menjamin kejayaan dan keberkesanan peranan ICT yang optimum. 

Fullan (2001) mengetengahkan satu keselarasan rangka kerja yang bermula dengan pemimpin menekankan keperluan moral, kefahaman tentang perubahan, pembinaan hubungan dan perkongsian ilmu pengetahuan. Penekanan kepada keperluan moral membolehkan penghayatan visi oleh semua warga organisasi dan secara tidak langsung akan meningkatkan kefahaman akan kenapa perlunya perubahan – perubahan yang berlaku lalu membawa kepada komitmen yang diperlukan.  Bertitik tolak dari sini akan terbina satu bentuk hubungan intelek dan profesional dalam kalangan pelaksana dan seterusnya berlaku perkongsian serta perkembangan ilmu pengetahuan berkumpulan yang boleh dimanfaatkan bersama.

            Perubahan yang dilatar oleh Information Communication Technology (ICT) atau Teknologi Maklumat Komunikasi (TMK) di sekolah adalah amat ketara bukan sahaja dari segi fizikal dan infrastruktur sekolah malah keberkesanan aplikasi ICT pada keseluruhannya. Seperti yang dibincangkan oleh Rahmad Sukor Ab Samad dan Mohd. Subhi Marsan (2001),  keberkesanan aplikasi yang membawa perubahan organisasi sekolah yang dihadapi oleh pengetua dan guru besar adalah seperti berikut :
  • Perubahan pertama ialah dalam pengurusan sekolah yang melibatkan kerja membina prosedur baru, aliran kerja, kumpulan kerja, asas pengetahuan, perkhidmatan dan komunikasi.
  • Perubahan berkaitan struktur organisasi sekolah seperti kewujudan unit IT yang akan memudahkan perhubungan dan penyelarasan maklumat kepada pengguna dan penyediaan laporan mengenai sekolah dengan tepat, cepat dan lengkap.
  • Hubungan antara sekolah dengan pihak luar seperti pelanggan baru, hubungan dengan para pembekal, rakan kongsi dan persatuan atau persekutuan.
  • Perubahan yang penting dalam bidang ekonomi yang melibatkan penggunaan alat elektronik, bentuk baru pasaran promosi sekolah dan pengiklanan, kos urusniaga atau belanjawan sekolah dan gaya pentadbiran dalam hubungannya dengan pelanggan dan pembekal seperti capaian kepada laman web sekolah, cakera padat korporat sekolah dan sebagainya.
  • Perubahan dalam pentadbiran sekolah yang melibatkan pelbagai unsur elektronik seperti mel elektronik (email) dan alat kumpulan (groupware). Keadaan ini memudahkan pengajaran dan pembelajaran serta keupayaan untuk membuat projek sekolah yang selalunya menghadapi kekangan masa, kawasan dan jarak.
  • Perubahan pada skala yang lebih besar iaitu dalam pembangunan nasional, institusi sekolah akan berhadapan dengan saingan nasional dan antarabangsa termasuk aspek kemudahan awam. Sekolah akan menggunakan jumlah perbelanjaan yang besar dalam membangunkan teknologi maklumat dan mendedahkan peluang untuk memperbaiki perkhidmatan sekolah kepada orang awam.

Zamri Abu Bakar dan Rusmini Ku Ahmad  dalam kajiannya mengenai implementasi ICT dan kepimpinan sekolah, merumuskan 3 model mengurus perubahan dalam organisasi sekolah menggunakan teras ICT seperti berikut dan bagaimana strategi kepimpinan dan ciri-ciri organisasi sekolah dapat membantu mencapainya.


Model
Strategi Kepimpinan
Ciri-Ciri Organisasi
Model 1 : Penggunaan Teknologi
Pemimpin mengamalkan pengurusan top down untuk memastikan penguasaan minimum guru dalam ICT.

Memastikan penyelaras ICT menjalankan tugas menyenggara dan menyampaikan kursus dalaman.

Memastikan penggunaan jadual waktu makmal komputer dipatuhi.

Memastikan guru menggunakan bahan-bahan multimedia yang disediakan oleh KPM dan juga menyediakan bahan-bahan P&P sendiri.
Penekanan diberi kepada peningkatan kompetensi guru dalam menggunakan ICT untuk keberkesanan P&P serta pengurusan maklumat murid.

Penekanan kepada perkongsian bahan-bahan multimedia sesama guru.

Penekanan kepada kemahiran murid-murid menggunakan ICT
Model 2 : Integrasi
Pemimpin mengamalkan pengurusan ’top down’ untuk memastikan penggunaan ICT secara menyeluruh oleh guru dan murid.

Mempunyai visi yang jelas dalam mengimplementasi ICT
Menggunakan peluang komuniti setempat dan PIBG bagi mendapatkan sumbangan untuk memantapkan prasarana ICT sekolah
Mengintegrasi ICT dalam penyelesaian masalah pengurusan kurikulum sekolah.

Perkembangan staf sekolah menjadi amalan untuk meningkatkan kemahiran guru


Model 3 : Inovasi Budaya
Pemimpin mempunyai visi dan misi yang jelas.


Mengekalkan kesinambungan organisasi dengan memastikan kemahiran ICT dikuasai oleh semua warga sekolah

Menekankan perkembangan staf.

Menjalinkan kerjasama erat dengan komuniti dan syarikat swasta

Memastikan polisi ICT dipatuhi oleh warga sekolah
ICT digunakan secara menyeluruh dalam P&P dan pengurusan sekolah.

Murid-murid diberi peluang sepenuhnya dalam implementasi ICT di sekolah.

Guru-guru menguasai kemahiran ICT dalam perkakasan, rangkaian dan perisian.

Sistem rangkaian sekolah mantap dan komunikasi melalui email menjadi amalan seharian.


Sehubungan itu bagi memastikan perubahan ke arah kecemerlangan sekolah adalah dicadangkan:
1.                  Pemimpin sekolah perlu meningkatkan kompetensi ICT dalam bidang perisian, perkakasan dan rangkaian melalui perkongsian maklumat dan kemahiran dengan pemimpin yang lebih mahir, menghadiri kursus serta melalui pembacaan.
2.                  Mewujud dan memastikan Web Based Management System (WSMS), berfungsi dan dapat digunakan di sekolah-sekolah
3.                  Perkembangan staf  harus menjadi amalan dan dibuat secara berkala bagi memantapkan kompetensi ICT dan budaya ICT dalam kalangan warga sekolah.
4.                  Kursus-kursus ICT yang dijalankan hendakah merangkumi keseluruhan kerangka ICT iaitu pengurusan data dan maklumat, perkakasan, perisian dan rangkaian supaya pemimpin dapat mewujudkan model inovasi budaya ICT di sekolah.
5.                  Mempunyai visi yang jelas untuk menggunakan ICT bagi memacu kecemerlangan sekolah dan dikongsi bersama.
6.                  Mempunyai perancangan yang komprehensif dalam melaksanakan aktiviti/program berteraskan ICT.
7.                  Menjalinkan kerjasama dengan PIBG dan pihak-pihak lain untuk membantu meningkatkan kemudahan ICT.
8.                  Penggunaan perkakasan/bahan perisian dan pengamalannya.
9.                  Meningkatkan kesedaran ICT pada semua peringkat.


Kesimpulan

Institusi sekolah hari in berdepan dengan masyarakat yang berilmu dan berteknologi. ICT telah menjadi satu budaya hidup yang membuka sempadan seluas – luasnya. Dalam keadaan ini, memaksa institusi pendidikan bekerja keras dan sepatutnya mendahului bidang lain dalam pembangunan dan penggunaan teknologi maklumat. Ini kerana fungsinya dan tanggungjawab untuk melahirkan modal insan yang berdaya saing dan terus relevan adalah terletak di bahu institusi pendidikan.

Sejak sekian lama kerajaan telah mengorak langkah untuk memastikan perkhidmatan pendidikan yang diberi adalah setanding seperti yang dihasratkan dalam Pelan Konsep Sekolah Bestari :
“A school that delivers education in a dramatically better way to significantly enhance the achievement of the goals of the National Philosophy of Education, utilising technology as the selected and effective tools and practices accompanied by the necessary organizational support and continuous professional development.”
                                                          (Smart School Conceptual Blueprint, 1997)

Dalam hal ini, pengaruh dan kesungguhan pemimpin pendidikan dalam menggembleng semua usaha merupakan faktor utama yang menentukan halatuju dan kejayaan pencapaian matlamat pengintegrasian ICT merentas dunia pendidikan untuk menerajui perubahan seperti yang dinyatakan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan  serta Wawasan 2020 yang diaspirasikan oleh pemimpin negara.  Perlu disedari bahawa pemimpin pendidikan berperanan sebagai moderator kepada perubahan dan menunjukkan satu komitmen serta berupaya mengenal pasti dan menganalisis  isu – isu berkaitan teknologi, konsep dan penambahbaikan. Cabaran kini kepada semua pengurus pendidikan di sekolah adalah untuk berubah daripada tahap menggunakan teknologi atau dalam bentuk engineering approach kepada satu bentuk reeengineering approach. Oleh yang demikian adalah kritikal bagi mereka menunjukkan kesediaan dan teladan dalam penggunaan ICT agar kepimpinan itu sendiri terus dinamik dan relevan seiring dengan keperluan dunia masa kini.

RUJUKAN
Flanagan, L., Jacobson M (2003). Technology leadership for the twenty first century principal. Jurnal of Education Administration, 41(2), 124-142.
Fullan, M.& Stiegelbauer, S.  (1991). The new meaning of educational change. (2nd Ed). London : Cassell Educational Limited.
Fullan, M. (1998) What’s Worth Fighting For Out There. London : Cassell Educational Limited.
Hersey,P. and Blanchard,R.K., ( 1973). Grid Principles and Situationalism : Both. A Response to Blake and Mouton, Group and Organization Studies.
Kearsley, G dan Lynch, B (1992), Educational Leadership in The Age of Technology : The New Skill Journal of Research on Computing in Education, 25(1), 50 – 61 .
Kementerian Pelajaran Malaysia. (2006). Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006 – 2010 . Putrajaya : KPM.
Maxwell, J.C. (2000). Developing the leader within you. Nashville, TN: Thomas Nelson.
Mohd. Izham Mohd. Hamzah dan Norazah Mohd. Nordin (2007). Peranan Pentadbir Dalam Proses Perubahan Terancang : Integrasi ICT dan Pedagogi Dalam Pengajaran dan Pembelajaran. Jurnal pengurusan dan pendidikan. 17 (02), 1 – 16.
Rahmad Sukor Ab. Samad & Mohd. Subhi Marsan.(2001). Teknologi maklumat dan komunikasi dalam pengurusan sekolah. Masalah Pendidikan, Jilid 24. 109 – 126.
Rossafri Mohamad dan Balakrishnan A/L Munindy (2007). Menterjemah kepimpinan teknologi bagi melahirkan kepimpinan instruksional yang cemerlang. Jurnal pengurusan dan pendidikan. 17 (02), 91 – 104.
Sufean Hussin. (2004). Pendidikan di Malaysia : Sejarah, Sistem dan Falsafah. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa & Pustaka.
Yukl, G (2002). Leadership in Organization. New Jersey. Prentice Hall.
Zaini Ahmad (2006), Pelaksanaan Dasar Teknologi Maklumat dan Komunikasi Dalam Pendidikan Di Sekolah Rendah. Kajian Ilmiah Doktor Falsafah, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Zamri Abu Bakar (2006), Implementasi ICT dan Kepimpinan Sekolah.