Sunday 6 March 2011

Artikel 3 : Misteri Lampu Menyala

PENULISAN AMALAN TERBAIK


MISTERI LAMPU MENYALA

Md. Yusoff Bin Mohamed
(Bekas Penolong Kanan
SMK Bandar Putra, Kulaijaya)

Hari itu, seperti biasa aku hadir ke sekolah pada pukul 8.45 malam. Tujuannya untuk melihat keadaan asrama sekolah. Pemantauan perlu dilaksanakan secara kerap agar murid-murid asrama sentiasa belajar terutamanya pada waktu yang telah ditetapkan.
“Assalamualaikum cikgu,” tegur seorang murid ketika bertemu denganku semasa hendak menuju ke tempat belajar.
“Waalaikumsalam,” jawabku ringkas.
Suasana sekolah tenang sahaja. Telah menjadi kebiasaan bagiku untuk datang ke asrama melalui kawasan sekolah. Aku jarang menggunakan pintu pagar utama asrama. Kelihatan murid-murid berbaris menuju ke tempat belajar yang telah ditetapkan. Begitulah keadaannya setiap malam. Sebelum ke asrama, aku sempat melihat sepintas lalu keadaan sekolah. Lampu-lampu di kaki lima memancarkan cahaya menerangi kawasan sekolah. 
            Hatiku agak keberatan untuk meninjau kawasan blok belakang sekolah.  Terngiang-ngiang di telingaku kata-kata beberapa orang rakan terhadap sekolah ini.
Cikgu, sekolah ini agak pelik sedikit, bilik muzik tu kadang-kala pendingin hawanya boleh terpasang sendiri,” terang seorang guru tanpa kupinta pada hari pertama aku ditempatkan di sekolah ini.
Mungkin guru terakhir yang menggunakan bilik itu terlupa memadamkannya tak?” Balasku.
Atau mungkin suisnya telah rosak, boleh juga menyebabkan keadaan itu berlaku,” terangku lagi walaupun tidak dipinta.
Tidak cikgu, lampu pejabat tu pun kadang-kadang terang benderang walaupun ia telah dipadamkan ketika pekerja pulang,” sambung seorang cikgu yang lain.
Sambil menyambut tangan murid yang ingin bersalam denganku ketika mereka ke tempat belajar, aku meneruskan perjalanan ke asrama. Di pejabat asrama aku memeriksa beberapa dokumen seperti laporan harian penghuni, buku laporan warden dan beberapa fail asrama.
            Apa khabar cikgu?” Tegur Penyelia Asrama.
            Bila cikgu datang?” Tanyanya lagi sebelum sempat aku membalas salamnya.
Waalaikumsalam, saya baru sampai kira-kira sepuluh minit tadi,” terangku kepada Penyelia Asrama.
Penyelia Asrama Sekolah memang kerap datang waktu malam. Selain memantau keadaan asrama, beliau selalunya mengutip yuran makan murid pada waktu malam.
Saya ingin ke sekolah pula untuk melihat serta memantau murid-murid belajar,” kataku kepada Penyelia Asrama.
Tengoklah cikgu, saya pun sebentar lagi juga akan ke sana sebelum pulang ke rumah,” balasnya.
Aku terus keluar dari pejabat asrama untuk ke sekolah semula.
            Sampai sahaja di tepi dewan sekolah, aku terkejut. Tiba-tiba aku terpandang bilik pengetua terang-benderang.  
Tadi aku rasa pejabat gelap tanpa cahaya,” aku berkata dalam hati.
Boleh tak datang ke sekolah sekarang juga?” Pintaku kepada Penyelia Asrama dengan menggunakan telefon bimbit.
Ada apa cikgu?” Tanyanya.
            Datang sahaja, saya nak minta tolong. Saya sekarang di tepi dewan,” jelasku.
Tidak sampai seminit, Penyelia Asrama sudah terpacak di depanku.
Cuba awak lihat, lampu bilik pengetua terpasang. Tadi masa saya ke asrama, keadaannya gelap sahaja. Pengetua hari ini bermesyuarat di Putrajaya,”  aku menerangkan situasi yang sebenarnya.
Jadi apa kita nak buat cikgu?” Tanya Penyelia Asrama itu lagi.
Kita kena padam lampu tu,” kataku.
Tanpa berbicara, muka Penyelia Asrama kelihatan agak keberatan dengan cadanganku itu. Aku dapat meneka bahawa dia juga tertanya-tanya mengapa keadaan ini boleh berlaku. Apa yang pasti, beliau telah ditempatkan di sekolah ini lebih awal daripadaku. Pasti lebih banyak cerita sekolah yang diketahuinya.
Cikgu pasti ke hendak masuk ke pejabat? Cikgu ada kunci ke?” Dia bertanya bertalu-talu. Daripada nada suaranya, kelihatan seolah-olah dia keberatan untuk menerima cadanganku.
“Saya memang ada membawa kunci. Saya memanggil kamu ke sini untuk menyiasat mengapakah lampu berkenaan bernyala,” jelasku kepadanya.
Kami berdua mendaki tangga pejabat perlahan-lahan. 
“Entah-entah ada penceroboh tak?” Soalku kepada kepada Penyelia Asrama bagi menangkan hati.
Soalan itu tidak berjawab, sebaliknya dia hanya memandang mukaku dengan seribu satu persoalan.
Aku terkejut apabila mendapati bahawa pintu pejabat tidak berkunci.  Pengetua juga tidak kelihatan di pejabatnya. 
Cari siapa?” Tiba-tiba terdengar suara dari belakang. Aku kenal suara itu.
            Oh, cikgu, terkejut saya,” jawabku kepada Pengetua dalam keadaan kaget.  Aku dan Penyelia Asrama tanpa diarah terus bersalaman dengannya. 
Kenapa? Kamu takut?” Tanyanya meneka hati kami berdua.
Tidak, tadi semasa saya datang ke sekolah, pejabat ini gelap tetapi tiba-tiba saya lihat terang benderang. Sebab itu kami ke sini untuk melihat keadaan yang sebenar,” balasku menerangkan keadaan.
Oh....begitu. Tadi saya sebenarnya dari Putrajaya, tetapi singgah sekejap untuk meminit dan membaca surat-surat masuk. Takut ada surat penting dan perlukan tindakan segera,” jelas Pengetua panjang lebar.
Aku dan Penyelia Asrama saling berpandangan dan secara tidak disedari kami tersenyum sendiri. Aku sebenarnya amat kagum dengan kejadian yang kualami pada hari ini.
Sejak hari itu, tiada lagi kedengaran cerita-cerita lampu pejabat menyala, kerana kami tahu bahawa Pengetua yang kerap datang ke sekolah tanpa mengira waktu untuk menyiapkan tugas, terutamanya ketika beliau berada di luar kawasan.