Peranan
Pemimpin Dalam Menerajui Perubahan Berteraskan ICT
Fareeza bt Ab Rasip
(Pelatih Praktikum NPQEL IAB di SMK Bandar Putra 2009)
Pengenalan
Negara kita Malaysia mempunyai
wawasan untuk mencapai status negara maju sekali gus bermaksud mempunyai
masyarakat yang maju dalam semua aspek terutamanya dalam bidang teknologi dan
saintifik. Untuk merealisasikan wawasan ini, pastinya menuntut anjakan
paradigma dan kesediaan kepada perubahan yang bukan sedikit. Dalam hal ini,
pembangunan sumber manusia negara adalah amat penting dan di sinilah bidang
pendidikan menjadi agen terpenting dalam usaha pencapaian matlamat. Pendidikan
di Malaysia mempunyai gagasan menyediakan pendidikan bertaraf dunia di dalam
aspirasi Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) untuk melahirkan minda
″world class″ yang sekali gus akan mengangkat negara ke taraf negara maju.
Rentetan daripada ini bidang pendidikan khususnya di Malaysia
berdepan dengan pelbagai perubahan dan cabaran yang semakin besar dan getir
dalam menunaikan fungsi dan tanggungjawabnya terhadap masyarakat amnya. Adalah amat penting bidang pendidikan
bergerak jika tidak mendahului teknologi dunia tetapi perlu bergerak sama
pantas dengan pembangunan dan perkembangan teknologi moden yang sangat pesat. Maka dengan ini evolusi dan perubahan
pendidikan adalah bersifat dinamik dan tidak jumud. Ini adalah amat penting
agar bidang pendidikan terus relevan dan menepati fungsinya dalam melahirkan
generasi yang mapan di dalam zamannya. Dalam era globalisasi, kawasan tanpa
sempadan dan maklumat di hujung jari, perubahan adalah sesuatu keperluan, pasti
akan berlaku dan tidak dapat dielakkan.
Arus perubahan ini perlu
diharungi oleh warga pendidik dengan persiapan yang mantap dari segi fizikal,
mental, kemahiran dan pengetahuan seiring dengan sifat futuristik dan peningkatan teknologi yang tinggi dan
pelbagai dalam semua bidang. Pemimpin
pendidikan di sekolah ialah orang yang
bertanggungjawab secara langsung mengambil peranan penting dalam mengupayakan
semua usaha ke atas pengoperasian, pelaksanaan dasar, perubahan dan inovasi
yang telah dirancang dan ingin dicapai. Oleh yang demikian, pengurusan
pendidikan alaf baru adalah sinonim dengan pelbagai jenis dan ragam perubahan
yang terarah kepada keperluan dan tuntutan semasa.
Keperluan
Kepada Perubahan
Artikel tulisan Mohd Izham Mohd
Hamzah, Ph.D dan Norazah Mohd Nordin, Ph.D (2007) membincangkan bahawa
perubahan yang berlaku dalam pendidikan adalah bermatlamat ke arah meningkatkan
keberkesanannya kepada klien, iaitu para pelajar. Memetik daripadanya, Sufean
(2004) menerangkan perubahan mempunyai erti atau konotasi peralihan, anjakan,
transformasi, inovasi, adaptasi, atau reformasi, dan kesemua istilah ini
merujuk kepada keadaan yang terubah daripada keadaan sedia ada kepada suatu
keadaan yang lebih baik dan maju. Secara umumnya apa yang dapat difahami daripada Hersey dan Blanchard (1983) tentang perubahan ialah terdapat tujuh jenis
tekanan yang mendesak kepada perubahan iaitu paksaan, ganjaran, kepakaran,
kuasa sah, personel / rujukan, kuasa maklumat dan kuasa perhubungan.
Michael Fullan ( 1998 ) pula menegaskan tekanan yang
membawa kepada perubahan dalam pendidikan adalah :
1.
Persekitaran yang kompleks memberikan tekanan untuk
berubah.
2.
Sekolah bukan unit yang terpencil, sebaliknya perlu mempunyai
komunikasi dengan masyarakat sekelilingnya.
3.
Dunia yang semakin rencam sifatnya mempunyai kepelbagaian
yang memerlukan lebih fleksibiliti.
4.
Kejuruteraan dan teknologi komputer serta teknologi
komunikasi telah menembusi dinding sekolah.
5.
Sekolah merupakan harapan terakhir untuk menyelamatkan
dan mencipta semula masyarakat.
6.
Guru – guru dapat membantu ke arah generasi cemerlang di
masa hadapan.
7.
Pendidikan adalah penting untuk demokrasi. Warganegara
yang berpendidikan adalah lebih mudah untuk diurus.
8.
Persaingan dalam
pasaran, pilihan keluarga dan pengurusan individu sendiri.
9.
Pekerjaan menanti pelajar. Pendidikan sebagai persiapan
atau kilang mengeluarkan tenaga kerja mahir dan berhemah tinggi. Sungguhpun
robot boleh menggantikan tenaga manusia, tetapi manusia lebih kreatif dan mudah
diubahsuai.
10.
Kecelaruan struktur sedia ada.
Faktor – faktor yang memberi
tekanan untuk perubahan akan terus memastikan bahawa pendidikan yang kita
sediakan untuk generasi seterusnya adalah sesuai, relevan dan berkesan. Untuk
memastikan kelangsungan ini, pemimpin pendidikan ialah orang yang menggalas
tanggungjawab tersebut dan perlu sentiasa menyediakan dan melengkapkan diri
dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang berkenaan.
Perkembangan ICT dan Peranan Pemimpin Dalam Memacu Perubahan
Dunia Information Communication and Technology (ICT) ataupun Teknologi
Komunikasi dan Maklumat (TMK) di dunia telah membawa arus perubahan yang begitu
mengesankan dalam kehidupan manusia sejagat.
Ledakan maklumat dan teknologi yang begitu besar terus menjadi elemen
kebergantungan kita dalam menjalani kehidupan.
Evolusi ini menuntut masyarakat seluruh dunia menguasai kemahiran yang
bersifat futuristik dan berteknologi tinggi ini dalam berkomunikasi, akses capaian
dan penyampaian maklumat serta pelbagai lagi bentuk adaptasi sebagai kemahiran
survival era baru.
Malaysia pastinya tidak
terkecuali menerima kesan dan bahang perkembangan digital ini. Masyarakat
semakin menyedari bahawa kompetensi penguasaan teknologi adalah suatu yang
mandatori dalam menentukan agar mereka terus kompetetif dalam pasaran
moden.
Kementerian Pelajaran Malaysia
yang menyedari hakikat ini merangka dan melaksana pelbagai usaha untuk
menyediakan pelajar ke arah kompeten dengan teknologi semasa seterusnya akan
melahirkan masyarakat berteknologi seiring dengan perkembangan era kemajuan yang begitu pesat dan serba
pantas. Sehubungan dengan itu, adalah
satu keperluan untuk menyediakan suasana pembelajaran yang kondusif serta lebih cekap dan berkesan untuk kliennya iaitu
para pelajar. Kertas cadangan Rossafri
Mohamad dan Balakrishnan A/L Munindy
(2007) membincangkan bahawa perbelanjaan yang besar telah diperuntukkan
dalam RMK Ke – 8 untuk memenuhi tuntutan persaingan teknologi ini yang telah
menelan belanja jutaan ringgit. Hasilnya,
antara perkembangan yang telah dapat dijana oleh Kementerian Pelajaran Malaysia
adalah :
- Sekolah Bestari : Satu Aplikasi Perdana Koridor Raya Multimedia dan pelaksanaannya menekankan penggunaan ICT sebagai pengupayaan pedagogi dan pengurusan sekolah. Mula dirintis seawal tahun 1999 kepada 88 buah sekolah di seluruh Malaysia.
- SchoolNet : Projek penyediaan prasarana jalur lebar untuk capaian ke Internet di semua sekolah bagi tujuan mengatasi jurang digital. Sehingga tahun 2005 sebanyak 9285 sekolah telah dirangkaikan.
- Projek MySchoolNet : Projek bagi membudayakan penggunaan Internet dalam P&P melalui pembangunan laman web yang menyediakan bahan sumber pendidikan untuk pelajar, guru dan pentadbir sekolah seperti modul P&P, perisian, sukatan pelajaran, berita forum dan program kolaboratif.
- Makmal Pengkomputeran : Penyediaan makmal komputer dan membekalkan komputer serta pelayan (server) kepada sekolah.
- TV Pendidikan (TVP) : Bagi membantu dan mempelbagai proses P&P di sekolah mulai tahun 2000. Rancangan ini dibangunkan berasaskan kurikulum dan dipancarkan melalui saluran ASTRO sehingga tahun 2005.
- P&P Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) : Diperkenalkan pada tahun 2003 secara berperingkat, dimulai dengan Tahun 1, Tingkatan 1 dan Tingkatan 6 Rendah. Peralatan ICT yang begitu ekstensif seperti komputer riba, projektor LCD dan DLP, skrin, troli, TV, pencetak serta perisian telah dibekalkan kepada sekolah dan guru – guru yang terlibat.
- Mata Pelajaran ICT : Mata pelajaran Information and Communication Technology, Grafik berkomputer, Produksi Multimedia, Fundamentals of Programming, Program Development Tools, Pemesinan Berkomputer, Aplikasi Komputer dalam Perniagaan, Animasi dan Rekabentuk Penerbitan, Penerbitan Multimedia Kreatif, Sistem Sokongan Komputer, Sistem Sokongan rangkaian dan Program Literasi ICT.
- Latihan ICT untuk guru : Pelbagai program latihan untuk meningkatkan kemahiran guru telah disediakan dan dilaksanakan.
- Projek Pengkomputeran Pengurusan : Menyediakan sistem aplikasi dan infrastruktur ICT untuk menyokong sistem pengurusan KPM yang meliputi Rangkaian KPMNet, Aplikasi Sistem Pentadbiran, Aplikasi Pengurusan Pendidikan, Pembangunan Sistem Penyediaan Infrastruktur, Sistem Pengurusan Maklumat Pendidikan (EMIS) dan Sistem Pemantauan Perancangan Sekolah. Pelaksanaan Aplikasi Pendaftaran Peperiksaan atas talian dimulakan pada tahun 2003 bagi mempercepatkan proses pendaftaran peperiksaan diikuti dengan Aplikasi Sistem Maklumat Murid (SMM) yang diperkenalkan pada tahun 2004.
Usaha Kementerian Pelajaran
Malaysia ke arah kesinambungan pemantapan teknologi didalam sistem pendidikan
di Malaysia terus digarap dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006
– 2010. Beberapa teras strategik daripada enam strategik PIPP menekankan kepada pencapaian matlamat
peningkatan teknologi dan ICT. Melalui teras kedua iaitu Membangun Modal Insan,
berhasrat melahirkan pelajar yang kompeten dalam bidang sains dan teknologi,
inovatif dan kreatif seterusnya mempunyai nilai kebolehpasaran yang tinggi.
Teras ketiga iaitu Memperkasakan Sekolah Kebangsaan antara lain menekankan usaha melengkapi sekolah – sekolah
kebangsaan dengan kemudahan ICT agar terus berdaya saing dan seterusnya teras
keempat Merapatkan Jurang Pendidikan yang menjurus kepada usaha – usaha mengurangkan
jurang digital antara pelajar khususnya pelajar bandar dengan luar bandar.
Perkembangan dan senarai usaha di
atas memperlihatkan betapa seriusnya kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran
Malaysia dalam melahirkan masyarakat yang mapan teknologi agar tidak
ketinggalan dalam era globalisasi dunia.
Namun begitu semua ini tidak akan berjaya direalisasikan sekiranya tidak dapat
disambut oleh pemimpin pendidikan yang menjurus kepada kemampuan pengetua dan
guru besar di sekolah merubah kepimpinan dan pengurusan seiring dengan kemajuan
ICT. Kepelbagaian teknologi yang semakin sofistikated telah membawa impak yang
bukan sedikit terhadap fungsi dan tanggungjawab pemimpin di sekolah. Peneraju
utama organisasi pelaksana pendidikan bukan sahaja perlu boleh menangani arus
ini malah berupaya membawa senario pendidikan di sekolahnya ke arah perubahan
yang memerlukan kepada anjakan paradigma daripada kaedah kepemimpinan dan
pengurusan tradisional yang diamalkan sekian lama.
Seorang pemimpin harus mempunyai
strategi dan pengetahuan dalam menerajui perubahan yang dihasratkan. Oleh itu,
adalah sangat penting untuk pengetua atau guru besar bersikap proaktif dan
positif dalam meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dirinya sendiri di dalam
bidang ICT agar boleh menjadi pemangkin
kepada penyebaran pengaruh perubahan yang diinginkan.
Pemimpin sekolah adalah personel
yang perlu bertindak sebagai pemimpin perubahan, penyokong kepada perkembangan
staf dan pemimpin harus menjadi model pengguna ICT. Pemimpin harus mempunyai kompetensi dalam
mengimplimentasi dan mengintegrasi ICT bagi meningkatkan keberkesanan sebagai
pemimpin teknologi di sekolah. Flanagan
dan Jacobson (2003) menyatakan bahawa pengalaman-pengalaman kejayaan dalam implementasi
ICT dapat memberikan panduan kepada pemimpin-pemimpin sekolah yang ingin
mengimplemantasi ICT untuk membawa perubahan kepada sekolah. Amalan-amalan yang
boleh membawa kepada kejayaan sekolah dengan mengintegrasikan ICT ialah
penglibatan murid, perkongsian visi, kesamarataan akses, perkembangan
profesional dan sistem rangkaian yang menyeluruh.
Tidak dinafikan bahawa persediaan
infrastruktur teknologi adalah penting tetapi kepemimpinan dalam menerajui
perubahan berasaskan ICT adalah lebih kritikal sebagai asas yang kukuh. Seperti
yang dinyatakan oleh Kearsley dan Lynch (1992) bahawa kebolehan untuk membina
visi serta membawa perubahan melalui implementasi ICT adalah elemen yang
kritikal yang perlu ada pada pemimpin sekolah. Jelas sekali bahawa pengaruh
kepimpinan adalah elemen penting yang menyokong serta menentukan halatuju
perubahan dengan aspirasi visi, objektif dan juga inisiatif pembangunan
profesional dalam implementasi dan integrasi ICT dari pelbagai aspek dunia
pendidikan.
Menurut kajian di 8 buah sekolah
rendah di Malaysia seperti yang dibincangkan oleh Zaini (2006) mendapati bahawa
faktor – faktor utama yang menyokong pelaksanaan dasar ICT adalah kesedaran
terhadap kepentingan ICT, kerjasama antara warga sekolah, peralatan yang
lengkap, kursus dan pendedahan ICT kepada guru dan insentif untuk guru. Ini menunjukkan satu penggemblengan warga
organisasi sekolah yang bersepadu perlu dirangka dan dilaksanakan untuk
menjamin kejayaan dan keberkesanan peranan ICT yang optimum.
Fullan (2001) mengetengahkan satu
keselarasan rangka kerja yang bermula dengan pemimpin menekankan keperluan
moral, kefahaman tentang perubahan, pembinaan hubungan dan perkongsian ilmu
pengetahuan. Penekanan kepada keperluan moral membolehkan penghayatan visi oleh
semua warga organisasi dan secara tidak langsung akan meningkatkan kefahaman
akan kenapa perlunya perubahan – perubahan yang berlaku lalu membawa kepada
komitmen yang diperlukan. Bertitik tolak
dari sini akan terbina satu bentuk hubungan intelek dan profesional dalam
kalangan pelaksana dan seterusnya berlaku perkongsian serta perkembangan ilmu
pengetahuan berkumpulan yang boleh dimanfaatkan bersama.
Perubahan
yang dilatar oleh Information Communication Technology (ICT) atau Teknologi
Maklumat Komunikasi (TMK) di sekolah adalah amat ketara bukan sahaja dari segi
fizikal dan infrastruktur sekolah malah keberkesanan aplikasi ICT pada
keseluruhannya. Seperti yang dibincangkan oleh Rahmad Sukor Ab Samad dan Mohd.
Subhi Marsan (2001), keberkesanan
aplikasi yang membawa perubahan organisasi sekolah yang dihadapi oleh pengetua
dan guru besar adalah seperti berikut :
- Perubahan pertama ialah dalam pengurusan sekolah yang melibatkan kerja membina prosedur baru, aliran kerja, kumpulan kerja, asas pengetahuan, perkhidmatan dan komunikasi.
- Perubahan berkaitan struktur organisasi sekolah seperti kewujudan unit IT yang akan memudahkan perhubungan dan penyelarasan maklumat kepada pengguna dan penyediaan laporan mengenai sekolah dengan tepat, cepat dan lengkap.
- Hubungan antara sekolah dengan pihak luar seperti pelanggan baru, hubungan dengan para pembekal, rakan kongsi dan persatuan atau persekutuan.
- Perubahan yang penting dalam bidang ekonomi yang melibatkan penggunaan alat elektronik, bentuk baru pasaran promosi sekolah dan pengiklanan, kos urusniaga atau belanjawan sekolah dan gaya pentadbiran dalam hubungannya dengan pelanggan dan pembekal seperti capaian kepada laman web sekolah, cakera padat korporat sekolah dan sebagainya.
- Perubahan dalam pentadbiran sekolah yang melibatkan pelbagai unsur elektronik seperti mel elektronik (email) dan alat kumpulan (groupware). Keadaan ini memudahkan pengajaran dan pembelajaran serta keupayaan untuk membuat projek sekolah yang selalunya menghadapi kekangan masa, kawasan dan jarak.
- Perubahan pada skala yang lebih besar iaitu dalam pembangunan nasional, institusi sekolah akan berhadapan dengan saingan nasional dan antarabangsa termasuk aspek kemudahan awam. Sekolah akan menggunakan jumlah perbelanjaan yang besar dalam membangunkan teknologi maklumat dan mendedahkan peluang untuk memperbaiki perkhidmatan sekolah kepada orang awam.
Zamri Abu Bakar dan Rusmini Ku Ahmad dalam kajiannya mengenai implementasi ICT dan
kepimpinan sekolah, merumuskan 3 model mengurus perubahan dalam organisasi
sekolah menggunakan teras ICT seperti berikut dan bagaimana strategi kepimpinan
dan ciri-ciri organisasi sekolah dapat membantu mencapainya.
Model
|
Strategi Kepimpinan
|
Ciri-Ciri Organisasi
|
Model 1 : Penggunaan Teknologi
|
Pemimpin mengamalkan pengurusan ‘top
down’ untuk memastikan penguasaan minimum guru dalam ICT.
Memastikan penyelaras ICT menjalankan tugas
menyenggara dan menyampaikan kursus dalaman.
Memastikan penggunaan jadual waktu makmal
komputer dipatuhi.
Memastikan guru menggunakan bahan-bahan
multimedia yang disediakan oleh KPM dan juga menyediakan bahan-bahan P&P
sendiri.
|
Penekanan diberi kepada peningkatan kompetensi
guru dalam menggunakan ICT untuk keberkesanan P&P serta pengurusan
maklumat murid.
Penekanan kepada perkongsian bahan-bahan
multimedia sesama guru.
Penekanan kepada kemahiran murid-murid
menggunakan ICT
|
Model 2 : Integrasi
|
Pemimpin mengamalkan pengurusan ’top down’ untuk
memastikan penggunaan ICT secara menyeluruh oleh guru dan murid.
Mempunyai visi yang jelas dalam mengimplementasi
ICT
Menggunakan peluang komuniti setempat dan PIBG
bagi mendapatkan sumbangan untuk memantapkan prasarana ICT sekolah
|
Mengintegrasi ICT dalam penyelesaian masalah
pengurusan kurikulum sekolah.
Perkembangan staf sekolah menjadi amalan untuk
meningkatkan kemahiran guru
|
Model 3 : Inovasi Budaya
|
Pemimpin mempunyai visi dan misi yang jelas.
Mengekalkan kesinambungan organisasi dengan
memastikan kemahiran ICT dikuasai oleh semua warga sekolah
Menekankan perkembangan staf.
Menjalinkan kerjasama erat dengan komuniti dan
syarikat swasta
Memastikan polisi ICT dipatuhi oleh warga
sekolah
|
ICT digunakan secara menyeluruh dalam P&P
dan pengurusan sekolah.
Murid-murid diberi peluang sepenuhnya dalam
implementasi ICT di sekolah.
Guru-guru menguasai kemahiran ICT dalam
perkakasan, rangkaian dan perisian.
Sistem rangkaian sekolah mantap dan komunikasi
melalui email menjadi amalan seharian.
|
Sehubungan itu bagi memastikan
perubahan ke arah kecemerlangan sekolah adalah dicadangkan:
1.
Pemimpin sekolah perlu meningkatkan kompetensi ICT dalam
bidang perisian, perkakasan dan rangkaian melalui perkongsian maklumat dan
kemahiran dengan pemimpin yang lebih mahir, menghadiri kursus serta melalui
pembacaan.
2.
Mewujud dan memastikan Web Based Management System (WSMS), berfungsi dan dapat digunakan
di sekolah-sekolah
3.
Perkembangan staf
harus menjadi amalan dan dibuat secara berkala bagi memantapkan
kompetensi ICT dan budaya ICT dalam kalangan warga sekolah.
4.
Kursus-kursus ICT yang dijalankan hendakah merangkumi
keseluruhan kerangka ICT iaitu pengurusan data dan maklumat, perkakasan,
perisian dan rangkaian supaya pemimpin dapat mewujudkan model inovasi budaya
ICT di sekolah.
5.
Mempunyai visi yang jelas untuk menggunakan ICT bagi
memacu kecemerlangan sekolah dan dikongsi bersama.
6.
Mempunyai perancangan yang komprehensif dalam melaksanakan
aktiviti/program berteraskan ICT.
7.
Menjalinkan kerjasama dengan PIBG dan pihak-pihak lain
untuk membantu meningkatkan kemudahan ICT.
8.
Penggunaan perkakasan/bahan perisian dan pengamalannya.
9.
Meningkatkan kesedaran ICT pada semua peringkat.
Kesimpulan
Institusi sekolah hari in
berdepan dengan masyarakat yang berilmu dan berteknologi. ICT telah menjadi
satu budaya hidup yang membuka sempadan seluas – luasnya. Dalam keadaan ini,
memaksa institusi pendidikan bekerja keras dan sepatutnya mendahului bidang lain
dalam pembangunan dan penggunaan teknologi maklumat. Ini kerana fungsinya dan
tanggungjawab untuk melahirkan modal insan yang berdaya saing dan terus relevan
adalah terletak di bahu institusi pendidikan.
Sejak sekian lama kerajaan telah
mengorak langkah untuk memastikan perkhidmatan pendidikan yang diberi adalah
setanding seperti yang dihasratkan dalam Pelan Konsep Sekolah Bestari :
“A school
that delivers education in a dramatically better way to significantly enhance the
achievement of the goals of the National Philosophy of Education, utilising
technology as the selected and effective tools and practices accompanied by the
necessary organizational support and continuous professional development.”
(Smart School Conceptual
Blueprint, 1997)
Dalam hal ini, pengaruh dan kesungguhan pemimpin
pendidikan dalam menggembleng semua usaha merupakan faktor utama yang
menentukan halatuju dan kejayaan pencapaian matlamat pengintegrasian ICT
merentas dunia pendidikan untuk menerajui perubahan seperti yang dinyatakan
dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan
serta Wawasan 2020 yang diaspirasikan oleh pemimpin negara. Perlu disedari bahawa pemimpin pendidikan
berperanan sebagai moderator kepada perubahan dan menunjukkan satu komitmen
serta berupaya mengenal pasti dan menganalisis isu – isu berkaitan teknologi, konsep dan
penambahbaikan. Cabaran kini kepada semua pengurus pendidikan di sekolah adalah
untuk berubah daripada tahap menggunakan teknologi atau dalam bentuk engineering approach kepada satu bentuk reeengineering approach. Oleh yang
demikian adalah kritikal bagi mereka menunjukkan kesediaan dan teladan dalam
penggunaan ICT agar kepimpinan itu sendiri terus dinamik dan relevan seiring
dengan keperluan dunia masa kini.
RUJUKAN
Flanagan, L., Jacobson M (2003). Technology leadership for the twenty first century
principal. Jurnal of Education Administration, 41(2), 124-142.
Fullan, M.& Stiegelbauer, S. (1991). The new meaning of educational
change. (2nd Ed). London
: Cassell Educational Limited.
Fullan, M. (1998) What’s Worth Fighting For Out There.
London :
Cassell Educational Limited.
Hersey,P. and Blanchard,R.K., ( 1973). Grid Principles
and Situationalism : Both. A Response to Blake and Mouton, Group and
Organization Studies.
Kearsley, G dan Lynch, B (1992), Educational
Leadership in The Age of Technology : The New Skill Journal of Research on
Computing in Education, 25(1), 50 – 61 .
Kementerian Pelajaran Malaysia. (2006). Pelan Induk
Pembangunan Pendidikan 2006 – 2010 . Putrajaya : KPM.
Maxwell, J.C. (2000). Developing the leader within
you. Nashville,
TN: Thomas Nelson.
Mohd. Izham Mohd. Hamzah dan
Norazah Mohd. Nordin (2007). Peranan Pentadbir Dalam Proses Perubahan Terancang
: Integrasi ICT dan Pedagogi Dalam Pengajaran dan Pembelajaran. Jurnal
pengurusan dan pendidikan. 17 (02), 1 – 16.
Rahmad Sukor Ab. Samad &
Mohd. Subhi Marsan.(2001). Teknologi maklumat dan komunikasi dalam pengurusan
sekolah. Masalah Pendidikan, Jilid 24. 109 – 126.
Rossafri Mohamad dan Balakrishnan
A/L Munindy (2007). Menterjemah kepimpinan teknologi bagi melahirkan kepimpinan
instruksional yang cemerlang. Jurnal pengurusan dan pendidikan. 17 (02), 91 –
104.
Sufean Hussin. (2004). Pendidikan
di Malaysia : Sejarah, Sistem dan Falsafah. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa & Pustaka.
Yukl, G (2002). Leadership in Organization. New Jersey. Prentice
Hall.
Zaini Ahmad (2006), Pelaksanaan Dasar Teknologi
Maklumat dan Komunikasi Dalam Pendidikan Di Sekolah Rendah. Kajian Ilmiah
Doktor Falsafah, Universiti Malaya, Kuala
Lumpur.
Zamri Abu Bakar (2006), Implementasi ICT dan
Kepimpinan Sekolah.