PENULISAN AMALAN TERBAIK
MISTERI LAMPU MENYALA
Md. Yusoff Bin Mohamed
(Bekas Penolong Kanan
SMK Bandar Putra, Kulaijaya)
SMK Bandar Putra, Kulaijaya)
Hari itu, seperti biasa aku hadir ke
sekolah pada pukul 8.45 malam. Tujuannya untuk melihat keadaan asrama sekolah.
Pemantauan perlu dilaksanakan secara kerap agar murid-murid asrama sentiasa
belajar terutamanya pada waktu yang telah ditetapkan.
“Assalamualaikum cikgu,” tegur
seorang murid ketika bertemu denganku semasa hendak menuju ke tempat belajar.
“Waalaikumsalam,” jawabku ringkas.
Suasana sekolah tenang
sahaja. Telah menjadi kebiasaan bagiku untuk datang ke asrama melalui kawasan
sekolah. Aku jarang menggunakan pintu pagar utama asrama. Kelihatan murid-murid
berbaris menuju ke tempat belajar yang telah ditetapkan. Begitulah
keadaannya setiap malam. Sebelum ke asrama, aku sempat melihat sepintas lalu
keadaan sekolah. Lampu-lampu di kaki lima memancarkan cahaya menerangi kawasan
sekolah.
Hatiku agak keberatan untuk meninjau
kawasan blok belakang sekolah. Terngiang-ngiang
di telingaku kata-kata beberapa orang rakan terhadap sekolah ini.
“Cikgu, sekolah
ini agak pelik sedikit, bilik muzik tu kadang-kala pendingin hawanya boleh
terpasang sendiri,” terang seorang guru tanpa kupinta pada hari pertama aku
ditempatkan di sekolah ini.
“Mungkin guru
terakhir yang menggunakan bilik itu terlupa memadamkannya tak?” Balasku.
“Atau mungkin
suisnya telah rosak, boleh juga menyebabkan keadaan itu berlaku,” terangku lagi
walaupun tidak dipinta.
“Tidak cikgu,
lampu pejabat tu pun kadang-kadang terang benderang walaupun ia telah dipadamkan
ketika pekerja pulang,” sambung seorang cikgu yang lain.
Sambil menyambut tangan murid yang ingin bersalam denganku ketika mereka ke
tempat belajar, aku meneruskan perjalanan ke asrama. Di pejabat asrama aku
memeriksa beberapa dokumen seperti laporan harian penghuni, buku laporan warden
dan beberapa fail asrama.
“Apa khabar cikgu?” Tegur Penyelia Asrama.
“Bila cikgu datang?” Tanyanya lagi sebelum sempat aku
membalas salamnya.
“Waalaikumsalam,
saya baru sampai kira-kira sepuluh minit tadi,” terangku kepada
Penyelia Asrama.
Penyelia Asrama Sekolah memang kerap datang waktu malam. Selain
memantau keadaan asrama, beliau selalunya mengutip yuran makan murid pada waktu
malam.
“Saya ingin ke
sekolah pula untuk melihat serta memantau murid-murid belajar,” kataku kepada
Penyelia Asrama.
“Tengoklah cikgu,
saya pun sebentar lagi juga akan ke sana sebelum pulang ke rumah,” balasnya.
Aku terus keluar dari pejabat asrama untuk ke sekolah semula.
Sampai sahaja di tepi dewan sekolah,
aku terkejut. Tiba-tiba aku terpandang bilik pengetua terang-benderang.
“Tadi aku rasa
pejabat gelap tanpa cahaya,” aku berkata dalam hati.
“Boleh tak datang
ke sekolah sekarang juga?” Pintaku kepada Penyelia Asrama dengan menggunakan
telefon bimbit.
“Ada apa cikgu?”
Tanyanya.
“Datang sahaja, saya nak minta tolong. Saya sekarang di
tepi dewan,” jelasku.
Tidak sampai seminit, Penyelia Asrama sudah terpacak di depanku.
“Cuba awak lihat, lampu
bilik pengetua terpasang. Tadi masa saya ke asrama, keadaannya gelap sahaja. Pengetua
hari ini bermesyuarat di Putrajaya,” aku
menerangkan situasi yang sebenarnya.
“Jadi apa kita nak
buat cikgu?” Tanya Penyelia Asrama itu lagi.
“Kita kena padam
lampu tu,” kataku.
Tanpa berbicara, muka Penyelia Asrama kelihatan agak keberatan dengan
cadanganku itu. Aku dapat meneka bahawa dia juga tertanya-tanya mengapa keadaan
ini boleh berlaku. Apa yang pasti, beliau telah ditempatkan di sekolah ini
lebih awal daripadaku. Pasti lebih banyak cerita sekolah yang diketahuinya.
“Cikgu pasti ke
hendak masuk ke pejabat? Cikgu ada kunci ke?” Dia bertanya bertalu-talu. Daripada
nada suaranya, kelihatan seolah-olah dia keberatan untuk menerima cadanganku.
“Saya memang ada membawa
kunci. Saya memanggil kamu ke sini untuk menyiasat mengapakah lampu berkenaan
bernyala,” jelasku kepadanya.
Kami berdua mendaki tangga
pejabat perlahan-lahan.
“Entah-entah ada
penceroboh tak?” Soalku kepada kepada Penyelia Asrama bagi menangkan hati.
Soalan itu tidak berjawab, sebaliknya dia hanya memandang mukaku dengan
seribu satu persoalan.
Aku terkejut apabila mendapati bahawa pintu pejabat tidak berkunci. Pengetua juga tidak kelihatan di
pejabatnya.
“Cari siapa?”
Tiba-tiba terdengar suara dari belakang. Aku kenal suara itu.
“Oh, cikgu, terkejut saya,” jawabku kepada Pengetua dalam
keadaan kaget. Aku dan Penyelia Asrama
tanpa diarah terus bersalaman dengannya.
“Kenapa? Kamu
takut?” Tanyanya meneka hati kami berdua.
“Tidak, tadi
semasa saya datang ke sekolah, pejabat ini gelap tetapi tiba-tiba saya lihat
terang benderang. Sebab itu kami ke sini untuk melihat keadaan yang sebenar,” balasku
menerangkan keadaan.
“Oh....begitu. Tadi
saya sebenarnya dari Putrajaya, tetapi singgah sekejap untuk meminit dan
membaca surat-surat masuk. Takut ada surat penting dan perlukan tindakan
segera,” jelas Pengetua panjang lebar.
Aku dan Penyelia Asrama saling berpandangan dan secara tidak disedari kami
tersenyum sendiri. Aku sebenarnya amat kagum dengan kejadian yang kualami pada
hari ini.
Sejak hari itu, tiada lagi kedengaran
cerita-cerita lampu pejabat menyala, kerana kami tahu bahawa Pengetua yang
kerap datang ke sekolah tanpa mengira waktu untuk menyiapkan tugas, terutamanya
ketika beliau berada di luar kawasan.