Tuesday, 22 March 2011

Artikel 11 : Pemilihan Guru Lepasan Lursus Perguruan Lepas Ijazah : Pandangan Guru-Guru

PEMILIHAN GURU LEPASAN KURSUS PERGURUAN LEPASAN IJAZAH (KPLI) :
PANDANGAN GURU-GURU

Tan Pei Ching
SMK Bandar Putra
Fadzlon Binti Hassan dan Rozita Binti Rahmat  
University Technology of Malaysia

ABSTRAK
Kajian ini bertujuan untuk mengetahui motif pemilihan profesion perguruan sebagai kerjaya di kalangan pelatih Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI). Sebanyak 237 orang guru pelatih semester kedua (akhir) yang mengkhusus dalam pengajaran sekolah rendah dan menengah di Maktab Perguruan Kent, Tuaran bagi tahun pengajian 2003 terlibat dalam kajian ini. Instrumen kajian adalah dalam bentuk borang soal selidik yang mengandungi 42 soalan. Bagi menguji kebolehpercayaan instrumen, ujian rintis telah dijalankan dan analisis data menunjukkan nilai kebolehpercayaan yang dapat diterima. Analisis deskriptif telah digunakan untuk menerangkan motif yang mendorong pelatih KPLI memilih profesion perguruan sebagai kerjaya dan motif paling utama pelatih memasuki latihan perguruan. Bagi menguji sama ada motif pemilihan profesion perguruan berbeza mengikut jantina, ujian T telah digunakan. Analisis data mendapati tidak wujud perbezaan yang signifikan antara kedua-dua jantina dengan motif pemilihan kerjaya. Ujian ANOVA Satu Hala juga telah digunakan untuk menguji jika terdapat perbezaan motif pemilihan profesion perguruan mengkut kumpulan etnik. Dapatan menunjukkan tiada perbezaan signifikan antara kumpulan etnik dengan motif pemilihan kerjaya. Dapatan daripada kajian ini mempunyai beberapa implikasi terhadap pemilihan bakal-bakal guru. Oleh itu, beberapa cadangan telah dibuat bag kajian ini dan penyelidikan selanjutnya.

PENDAHULUAN

Guru memainkan peranan penting dalam merealisasikan strategi Kementerian Pelajaran Malaysia, agar dapat mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan misi membangunkan sistem pendidikan bertaraf dunia serta menjadi pusat kecemerlangan pendidikan di serantau. Perguruan adalah satu profesyen yang bermatlamat untuk membentuk insan manusia yang sempurna agar manusia itu mengerti tentang peranan dan tanggungjawab guru terhadap diri sendiri, masyarakat, alam sekeliling, dan yang paling utama ialah tuhan yang mencipta alam ini.

 Kualiti pendidikan di sekolah adalah berkait rapat dengan kualiti profesinalisma keguruan yang terdapat di sekolah. Kualiti ini dicerminkan melalui kualiti pengajaran dan pembelajaran, kualiti personal guru, kecekapan pengurusan bilik darjah, serta sejauh mana penglibatan guru dalam membantu perkembangan pendidikan di sekolah secara umumnya dan pelajar secara khususnya.

Guru merupakan tenaga iktisas di dalam bidang perguruan yang dipertanggungjawabkan untuk mendidik pelajar di sekolah. Sesungguhnya, guru adalah pendidik dan pengasuh kanak-kanak yang akan menjadi warisan kebudayaan dan ilmu pengetahuan untuk kemajuan negara pada masa hadapan. Peranan yang dimainkan oleh guru dalam bidang pendidikan amatlah penting. Selain menyebarkan ilmu, segala tingkah laku guru akan menjadi contoh teladan kepada pelajar. Oleh yang demikian, guru seharusnya mempunyai sifat dan kualiti peribadi, profesional dan sosial yang baik dan murni. Hanya guru yang mempunyai tatasusila yang tinggi akan berjaya menjalankan tugas sebagai pendidik dengan sempurna.

Institut-institut perguruan guru termasuklah di peringkat universiti dipertanggungjawabkan untuk melahirkan guru-guru yang unggul dan mampu memberi sumbangan penting kepada pembangunan negara. Sesungguhnya, usaha menjamin kualiti perkhidmatan dalam profesion keguruan di abad ini merupakan satu cabaran kerana arus pembangunan masa kini mendesak peningkatan kualiti dalam semua bidang perkhidmatan termasuklah bidang pendidikan. Oleh itu, menjadi harapan negara agar guru dapat memainkan peranan dalam mendidik anak bangsa menjadi warganegara yang berguna.

LATAR BELAKANG KAJIAN

Pendidikan latihan guru telah mengalami beberapa perkembangan terkini di mana bilangan kursus dan pelajar di institut-institut perguruan telah berkembang dan bertambah khususnya untuk Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI). Mulai tahun 2003, Kursus Perguruan Lepas Ijazah Pengkhususan Sekolah Rendah telah diperkenalkan untuk melatih guru siswazah dalam bidang perguruan sekolah rendah. Kurikulum ini digubal berasaskan keperluan mengoptimumkan perkembangan kognitif kanak-kanak, keperluan meningkatkan ilmu pedagogi dan pengalaman berasaskan sekolah rendah serta keperluan memupuk nilai positif dan amalan profesional di kalangan guru. Antara objektif program diadakan adalah untuk mewujudkan sekurang-kurangnya 50% guru sekolah rendah berijazah dan 100% guru sekolah menengah berijazah menjelang tahun 2010.

Penilaian dan penapisan bagi calon-calon yang menawarkan diri untuk menjadi guru oleh pihak Kementerian Pelajaran di Bahagian Pengambilan Guru (BPG) iaitu semasa proses pemilihan dan pengambilan guru adalah amat perlu. Sikap dan personaliti calon guru yang disertai dengan iltizam untuk berjaya merupakan faktor penentu , sama ada seseorang itu boleh menjadi guru yang baik atau sebaliknya.  Di dalam proses pemilihan dan pengambilan ini, kriteria yang diambil berat bukan sahaja bercorak akademik, tetapi juga sikap dan kecenderungannya atau aptitudnya.  Ini bertujuan bagi memastikan bahawa calon guru yang terpilih adalah benar-benar layak serta minat dalam bidang ini. Calon-calon yang memohon bidang perguruan ini kebanyakannya bukanlah terdiri daripada lepasan graduan yang cemerlang dan berkualiti sebaliknya terdiri daripada golongan kedua terbaik dan memilih profesyen ini sebagai pilihan terakhir mereka. Oleh itu, tidak mustahil sekiranya tedapat calon-calon yang dipilih memasuki bidang perguruan terdiri daripada golongan yang tidak berminat terhadap profesyen ini dan hanya menunggu peluang untuk berpindah kepada profesyan yang lebih lumayan dan mencabar. Sebagaimana yang telah diketahui umum, profesion perguruan dan skim perkhidmatan pendidikan masih belum menandingi profesion-profesion yang bertaraf profesional yang lain seperti guaman, kedoktoran, perakauanan. 

PENYATAAN MASALAH KAJIAN

Sejak kebelakangan ini, isu yang membabitkan profesyen perguruan sering menjadi topik hangat yang sering diperkatakan dan diperbincangkan oleh setiap lapisan masyarakat. Antara isu utama yang sering dibangkitkan dewasa ini ialah keberkesanan guru memainkan peranan mereka di sekolah. Persoalan tentang peranan guru ini timbul kerana memandangkan isu gejala sosial di kalangan remaja yang juga merupakan pelajar  sekolah semakin berleluasa dan seolah-olah tiada berpenghujungnya. Terdapat juga isu guru yang dikenakan tindakan tatatertib kerana melaksanakan hukuman ke atas pelajar secara keterlaluan, berkelakuan sumbang, tidak menjalankan tugas dengan bersungguh-sungguh dan berbagai-bagai lagi. Selain itu juga, terdapat majoriti guru-guru di sekolah kurang menunjukkan kualiti profesionalisma keguruan yang baik bagi menangani keberkesanan pendidikan di sekolah. Tingkah laku guru adalah contoh teladan kepada pelajar. Oleh itu, guru seharusnya mempunyai sifat-sifat yang terpuji yang boleh menjadi teladan kepada pelajar untuk dicontohi.
Isu-isu yang berbangkit ini menimbulkan tanda tanya kepada kita semua tentang apakah sebenarnya yang menjadi punca kepada permasalahan ini. Adakan ianya berpunca dari nilai dan kualiti yang ada pada diri calon guru itu sendiri? Adakah pihak yang terlibat dalam pengambilan bakal guru perlu melakukan beberapa perubahan atau penambahbaikan semasa proses pemilihan itu dijalankan?

Pemilihan tepat calon-calon guru yang menepati kriteria seorang guru sangatlah penting kerana terdapat di kalangan calon-calon guru hanya memasuki bidang perguruan semata-mata  memerlukan sesuatu kerjaya, atau melihatnya sebagai pilihan kedua selepas gagal memasuki bidang kerjaya yang lain. Bakal guru yang diharapkan menjadi pembimbing generasi muda hendaklah mempunyai ciri-ciri unggul yang menjadi aspirasi masyarakat dan negara. Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Bahagian Pendidikan Guru sememangnya berhasrat memilih bakal guru yang berminat, bukan mereka yang hanya menceburkan diri setelah tiada pilihan lain kerana sikap separuh hati ini telah terbukti mendatangkan akibat buruk kepada profesion itu sendiri (Berita Bahagian Pendidikan Guru, 1990).

OBJEKTIF KAJIAN

Calon-calon guru lepasan ijazah yang memohon untuk memasuki bidang perguruan akan melalui beberapa proses penilaian dan penapisan secara berperingkat-peringkat iaitu sepanjang proses pemilihan dan pengambilan bakal guru yang dijalankan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia di Bahagian Pengambilan Guru (BPG). Pada awal penapisan, calon akan diuji dengan ujian bertulis di mana soalan objektif  yang dikemukakan akan menguji ketajaman fikiran calon semasa menjawab. Soalan itu, ujian tersebut juga mengandungi soalan yang dikatakan dapat mengenalpasti sahsiah sebenar calon. Tatacara pemilihan seterusnya adalah penilaian terhadap kemahiran bertutur serta kemahiran interpersonal yang akan dinilai melalui kaedah temuduga oleh pihak BPG dengan calon. Selain itu, kesesuaian tahap pencapaian akademik juga diambil kira untuk dinilai. Tatacara penilaian dan kemasukan adalah bercorak diagnostik agar dapat memilih calon yang benar-benar berkelayakan, berkualiti serta memenuhi kriteria seorang guru.


Tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk;
1.             Mengenalpasti kriteria yang mempengaruhi dalam pemilihan guru.
2.             Mengenalpasti keberkesanan kaedah temuduga yang dijalankan oleh pihak BPG.

SOROTAN KAJIAN
Pemilihan guru

Menurut Kamus Dewan edisi keempat, pemilihan bermaksud hal atau perbuatan memilih. Maksud guru pula ialah, orang yang mengajar atau pendidik. Pemilihan guru bermaksud satu proses untuk memilih pendidik berdasarkan kriteria yang di tetapkan.

Perguruan merupakan profesion yang paling utama dalam proses penyerapan ilmu pengetahuan kepada individu dan masyarakat. Dalam era globalisasi sekarang, profesion perguruan menjadi semakin kompleks dan mencabar. Golongan guru hendaklah memastikan martabat perguruan sentiasa dipertingkatkan dari masa ke semasa ke tahap yang lebih tinggi dan dihormati seperti yang digariskan oleh Y.A.B Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-9 . Terdapat lima teras utama iaitu:

Teras  1: Meningkatkan ekonomi dalam rantaian nilai lebih tinggi.
Teras 2: Meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi Negara serta memupuk
             ‘minda kelas pertama’.
Teras 3: Menangani masalah ketidak samaan sosioekonomi yang berterusan secara
              membina dan produktif.
Teras 4: Meningkatkan tahap dan kemampuan kualiti hidup.
Teras 5: Mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan.

Di antara kelima-lima teras di atas, teras yang kedua merupakan teras yang berkait rapat dengan dengan tindakan kerajaan untuk meningkatkan martabat profesion perguruan. Dalam tempoh rancangan tersebut,  usaha dipergiatkan bagi  membangunkan modal insan demi memacu transformasi Negara ke arah keupayaan ilmu pengetahuan. (RMK9, 2006)
Kementerian Pelajaran Malaysia berhasrat bukan sahaja melahirkan guru yang berkualiti, tetapi juga memastikan mereka yang berkualiti kekal dalam sistem pendidikan negara dan kekal berkualiti di sepanjang tempoh perkhidmatan. Justeru itu, syarat-syarat pengambilan calon guru diperketatkan bagi memastikan kementerian mendapat hanya calon guru yang berkualiti dalam profesion keguruan. Antara ujian yang perlu diambil oleh calon guru ialah Ujian Pemilihan Calon Guru Malaysia, temuduga individu dan berkumpulan serta ujian bertulis Bahasa Inggeris (KPM, 2001).

Kursus Perguruan Lepas Ijazah

Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI) adalah sebuah program latihan perguruan yang dianjurkan oleh Bahagian Pendidikan Guru (BPG) Kementerian Pendidikan di maktab-maktab perguruan. Mulai daripada tahun 1994, Kementerian Pendidikan telah memberi kebenaran kepada KOLEJ PENDIDIKAN PERDANA (KOPEDA) untuk melaksanakan program ini secara bekerjasama dengan agensinya iaitu  BPG.  Kerjasama yang diberikan adalah dalam bentuk:
                a) menggunasama kurikulum  BPG.
                b) mengambil peperiksaan yang sama yang dianjurkan oleh BPG di maktab-maktab   perguruan.
                c) menerima Diploma KPLI yang sama yang dianugerahkan oleh BPG kepada pelajar
               maktab perguruan.

Komponen dan mata pelajaran kurikulum KPLI adalah seperti berikut :
Bil
Komponen
Kredit

Mata Pelajaran

1.

Dinamika Guru

9
1.1                Kemahiran Belajar Secara Kiritis dan Kreatif.
1.2                Teknologi Maklumat
1.3                Pendidikan Islam & Tamadun Islam atau Pendidikan Moral & Tamadun Islam.
1.4                Pendidikan Alam Sekitar
1.5                Kemahiran Komunikasi Sosial –
            Bahasa Melayu Kini.

2.
Pendidikan
Pengkhususan
13
22

Mata Pelajaran Berkaitan Pengkhususan (Elektif 1)
Mata Pelajaran Berkaitan Pengkhususan (Elektif 2)

3.
Elektif
3
Mata Pelajaran Sekolah (mengikut pilihan pengajian pengkhususan)

4.
Gerakerja
Ko-Kurikulum (GERKO)

3
Pengurus Ko-Kurikulum Unit Beruniform dan Sukan
5.
Praktikum
7
Latihan Mengajar di Sekolah


Syarat pengambilan guru telah diperketatkan sejak tahun 2005 lagi, dalam usaha melahirkan tenaga pengajar yang  mahir dan berwibawa. Calon Kursus Perguruan Lepas Ijazah perlu memiliki ijazah yang menepati bidang yang dipohon, menduduki Peperiksaan Calon Guru Malaysia, aktif dalam kokurikulum, melepasi tapisan keselamatan, bebas dari penyalahgunaan dadah dan lulus temuduga.

Kriteria Pemilihan Guru

Guru adalah nadi kepada sekolah. Profesionalismenya adalah kunci kepada peningkatan kualiti. Kualiti yang dimaksudkan bukan sahaja kepada kualiti proses malah yang lebih utama ialah kualiti outputnya (hasil). Perkara ini tidak mungkin dicapai jika individu, kumpulan, kelompok dan organisasi tidak cekap dan tidak berkesan. Maka itulah sumber manusianya perlu dibangunkan secara bersepadu menerusi latihan-latihan tertentu bagi memastikan setiap individu itu dapat mengembangkan potensi dan bakatnya. Pengalaman-pengalaman yang diterima menerusi program pembangunan profesional ini sama ada ianya bersifat latihan-latihan khusus atau pun pengalaman sebenar di tempat kerja sudah barang tentu membolehkan atau mengupayakan guru-guru bertindak atau berpelakuan secara berkesan untuk meningkatkan kualiti pendidikan sekolahnya.
Dari segi tanggungjawab, guru merupakan golongan profesional kerana profesion ini lebih mementingkan perkhidmatan daripada ganjaran kewangan dan merasa bertanggungjawab dalam semua tindakan dan keputusan yang dibuat (Sufean, 1993). Guru yang berkualiti terdiri daripada mereka yang memiliki kriteria tertentu seperti keikhlasan, keazaman, kreativiti, dedikasi dan komited terhadap tugas dan tanggungjawab. Guru bukan sahaja menjadi pendidik dan pengasas kepada pengetahuan pelajar-pelajar tetapi juga menjadi pemimpin, penasihat dan agen perubahan dalam masyarakat. Sepanjang menjalankan tugas, matlamat guru adalah luhur demi memajukan pelajar, masyarakat dan negara.

Minat

Minat merupakan kriteria utama dalam pemilihan kerjaya perguruan. Ianya bermaksud keinginan atau cenderung kepada sesuatu.(Kamus Dewan edisi keempat). Menurut Ron Clark(2004), tiada apa yang lebih penting selain seseorang itu berminat dan bersemangat dalam sesuatu pekerjaan. Sebagai seorang guru, murid akan lebih bersemangat untuk pelajari sesuatu jika guru menunjukkan minat dan semangat yang  berkobar-kobar untuk mengajar.

 Walaupun terdapat pandangan negatif tentang profesion perguruan, seperti gaji dan status yang rendah serta kemudahan yang diperoleh (Straker 1988; Musak Matrak 1993 &1995; dan Subramaniam1995), tetapi masih terdapat golongan yang memilih kerjaya ini kerana beberapa sebab tertentu. Beberapa kajian terdahulu telah mengenal pasti faktor-faktor yang mempengaruhi pemilihan kerjaya perguruan dan didapati faktor pemilihan ini tidak banyak perbezaan antara satu negara dengan yang lain walaupun menggunakan sampel yang mempunyai latar belakang yang pelbagai. Minat dan kesungguhan mengatasi segala tanggapan negatif tentang profesion ini. Apabila kita aktif dan berminat dengan pekerjaan yang kita lakukan, maka kita merupakan orang yang paling bahagia dan gembira (Ron Clark,2004).

Beberapa kajian luar negara mendapati faktor pemilihan kerjaya perguruan boleh dikategorikan kepada dua, iaitu intrinsik dan ekstrinsik. Salah satu faktor instrinsik yang dikenal pasti ialah sukakan kanak-kanak (Ethington 1988; Bontempo & Digman 1985; Reid & Caudwell 1997; Evans 1993; Good 1993). Berry (1988) dan Jantzen (1981) juga melaporkan bahawa faktor sukakan kanak-kanak adalah sebab yang paling popular di kalangan calon wanita. Sebab-sebab lain adalah seperti ingin berbakti kepada negara dan bangsa (Chuen et.al. 1999), suasana kerja yang menyeronokan (Brown 1992) dan untuk memanfaatkan ilmu pengetahuan serta berpeluang melanjutkan pelajaran (Thomas 1984).
Bagi faktor ekstrinsik seperti jaminan kerja, gaji dan prospek masa depan serta peluang kenaikan pangkat ditemui dalam kajian tentang pemilihan kerjaya perguruan di kalangan guru sekolah rendah (Yong 1994; Chuen et al. 1999; Yee 1990).

Oleh itu, kekuatan dan kemajuan sesebuah negara banyak bergantung kepada sistem pendidikan yang baik dan berkesan, manakala kekuatan sesebuah sistem pendidikan itu bergantung kepada guru yang berkualiti. Seperti yang dinyatakan dalam Wawasan 2020 (Mahathir 2001), pendidikan merupakan agenda penting yang akan memenuhi aspirasi menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjadi realiti. Justeru, kita mestilah mempunyai guru-guru yang berkualiti dan mempunyai komitmen yang tinggi untuk merealisasikan wawasan tersebut. Proses pendidikan dan latihan guru haruslah menentukan calon guru mempunyai minat, sikap dan motivasi yang tinggi terhadap kerjaya perguruan serta kemahiran yang tinggi dalam aspek pengajaran dan pembelajaran.

Dorongan diri sendiri

Dorongan diri sendiri boleh dimaksudkan sebagai kebolehan memotivasikan diri sendiri, tanpa dipengaruhi oleh orang lain.Boleh bekerja dalam keadaan yang konsisten dan tidak mudah putus asa.
Motivasi  merupakan  satu  penggerak dari dalam hati seseorang untuk melakukan atau inginkan mencapai sesuatu matlamat.  Motivasi bermaksud, semangat yang kuat pada diri seseorang yang mendorongnya untuk berusaha atau melakukan sesuatu dengan tujuan untuk mencapai kejayaan (Kamus Dewan edisi keempat). Dengan kata lain  motivasi adalah proses menghasilkan tenaga oleh keperluan  diarahkan untuk mencapai sesuatu matlamat. Seseorang yang mempunyai motivasi bermakna ia telah memperolehi kekuatan untuk mencapai kecemerlangan dan kejayaan dalam kehidupan.. Dalam satu-satu kelompok kumpulan, motivasi menjadi penggerak kepada kejayaan kumpulan.  Dengan adanya motivasi, maka wujudlah kerjasama, sifat suka tolong-menolong antara satu sama lain.

Motivasi memainkan peranan yang sangat penting dalam bidang pendidikan.  Guru dan murid memerlukan motivasi untuk mengerakkan dirinya untuk mencapai kualiti kerja atau kejayaan yang lebih cemerlang.  Di sini motivasi boleh ditakrifkan sebagai kebolehan  atau persetujuan yang dilaburkan untuk mengembangkan tenaga demi mencapai matlamat atau juga penghargaan (Tunku Mohani,1996).  Oleh yang demikian motivasi adalah merupakan keadaan apabila keperluan manusia itu dipenuhi dengan diberi ganjaran dan sesuatu status yang baik.  Ekoran daripada itu, mereka akan bekerja dengan lebih baik kerana tiada lagi kebimbangan, rasa  selamat dan kehidupan yang terjamin  telah tersedia untuk mereka. 

Begitu juga dengan kepuasan, jika seseorang itu diberi motivasi, maka secara tidak langsung kehendak mereka telah dipenuhi . Terpenuhnya kehendak dan kemahuan oleh seseorang itu boleh memberikan suatu kepuasan yang tidak terhingga pada diri seseorang.  Pada masa yang sama guru juga menjadi “motivator” kepada pelajar-pelajarnya untuk berjaya dalam kehidupan mereka.  Seorang guru yang baik mesti mempunyai motivasi yang dinamik, cekap dan sentiasa berusaha untuk memajukan serta meningkatkan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.  Guru yang bermotivasi juga mempunyai tenaga untuk menjadi penggerak kepada pelajar-pelajarnya.

Berdasarkan Atan Long ( 1976 : 131 ), Maslow (1954) telah menjelaskan bahawa keperluan-keperluan manusia itu berperingkat-peringkat.  Sesuatu peringkat keperluan yang lebih tinggi tidak mungkin diperolehi sebelum keperluan yang lebih rendah peringkatnya dipenuhi terlebih dahulu.  Pada peringkat yang paling asas terdapat keperluan hayat ataupun keperluan fisiologi.  Setelah keperluan ini dipenuhi baharulah keperluan keselamatan, diikuti keperluan kasih-sayang, seterusnya peringkat penghargaan kendiri atau penghormatan diri dan peringkat tertinggi atau puncak bagi keperluan manusia adalah peringkat keperluan.
Peringkat keperluan manusia mengikut teori Maslow ini dapat dilihat seperti di bawah. 
 

1. Keperluan Estetik
2. Keperluan Mengetahui
3. Penyempurnaan Diri
4. Penghargaan Kendiri
5. Kasih Sayang
6. Keselamatan
7. Fisiologi  

Dalam pengajaran dan pembelajaran, motivasi dianggap sebagai satu unsur yang membolehkan murid melibatkan diri secara aktif. Di samping itu ianya menjadikan proses pembelajaran berlaku dalam situasi yang bermakna, berfaedah dan menyeronokan. Tugas guru semakin mencabar semasa menjalankan tugasnya sebagai  pendidik dewasa ini, maka guru perlu mempunyai motivasi yang tinggi agar dapat menjadi penggerak kepada muridnya supaya berjaya dalam pelajaran.

Keyakinan diri

Persediaan adalah faktor utama untuk mendapat keyakinan diri (Ron Clark 2004). Umumnya ia adalah keadaan di mana seseorang itu mempunyai pendirian yang teguh. Guru perlu menyiapkan diri dengan pelbagai teknik pengajaran. Mereka perlu membuat perancangan pengajaran dan menentukan objektif kerana mereka perlu memastikan hala tuju pelajar pada hujung  tiap-tiap pelajaran. Dalam mempersembahkan pengajaran, guru hendaklah mengawal pergerakan mereka, guru perlu pandai mengolah isi pelajaran dan memberi penerangan yang jelas. Minat pelajar perlu diwujudkan  dan dipertingkatkan dengan mengubah strategi dan menggunakan pelbagai pendekatan dalam pengajaran.

Dalam menyajikan pelajaran, guru hendaklah mempunyai keyakinan diri dengan menguasai kemahiran mengajar. Dengan peningkatan tahap keyakinan diri, pengalaman dan kemahiran yang diperlukan akan wujud dalam diri mereka. Langkah ini akan menjadikan guru lebih bersiap sedia menghadapi masalah dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, guru akan dapat menyaksikan kekurangan yang ada pada diri sendiri seterusnya dapat mengkaji, memperbaiki dan mempertingkatkan lagi kemahiran mereka. Selain itu, keyakinan diri berkait rapat dengan beberapa faktor lain seperti dalam kajian Hutchinson dan Buschner (1996) mendapati faktor lain seperti keupayaan diri, ingin menjadi contoh teladan dan kreativiti mendorong seseorang memilih kerjaya perguruan.

Eilane (2000) telah mengenalpasti beberapa ciri seorang guru yang amat berkesan (highly effective) yang dikategorikan kepada tiga aspek iaitu:
a)Ciri peribadi yang menjelaskan perwatakan. Seorang yang 'bermatlamat' (mission-driven) dan juga seorang yang 'asyik' dalam pekerjaannya. Bersikap positif dan 'real' yakni yakin dalam apa pun yang dilakukan di samping sabar menerima 'kenyataan' biar pun pahit untuk ditelan. Seorang 'guru-pemimpin'; di samping mengajar ia juga membimbing dan menunjuk ajar bukan sahaja anak didik malah rakan sejawat dan siapa sahaja.
b)Ciri mengajar yang memberikan hasil. Seorang yang memiliki dan sentiasa menerapkan aspek 'dengannya' ("with-it-ness") dalam apa jua yang dibuat atau apa jua yang murid-muridnya mesti buat. Ia juga mempunyai stail yang tersendiri, sesuai dengan semua keadaan dan persekitaran, nilai dan budaya, peraturan dan undang-undang.
c)Ciri intelek yang menunjukkan ilmu, sedar-diri dan faham-kendiri. Seorang yang suka 'membaca buku', dan mempunyai 'mental life' yang segar, berkembang dan bersifat 'berpenyungguhan kendiri' (self-actualization) dengan minda yang sihat dan terbuka, melihat alam dan kehidupan di dalam ruang lingkup yang luas dan menyeluruh.
Menjadi guru yang berkeyakinan penuh bukanlah bererti perkasa dari segi fizikal dan tenaga sahaja tetapi yang lebih penting ialah keperkasaan dari aspek profesionalismenya, prinsipnya, keutuhan keperibadiannya, kecekapan dan ketrampilannya, mental dan keintelektualannya, kestabilan emosi dan spiritualnya serta kebijaksanaan dan kepemimpinannya.

Sukakan cabaran

Dalam profesion perguruan, ianya merujuk kepada guru mewujudkan suasana pembelajaran yang menarik dan mencabar supaya dapat memupuk keyakinan murid seterusnya menggalakkan mereka menjadi lebih cemerlang. Perasaan sukakan cabaran akan dapat merangsang ke arah penambahbaikan.

Menurut Ron Clark (2004), sukakan cabaran adalah umpama mengambil risiko. Dalam kebanyakan senario di bilik darjah, terlalu banyak murid yang setiap hari datang ke sekolah, dengan rutin biasa, duduk belajar dan lihat jam, tidak sabar untuk menunggu waktu tamat sesi persekolahan. Jadi, sebagai guru kita mesti pandai menjadikan aktiviti pembelajaran sesuatu yang menarik dan mencabar kepada murid. Dengan ini, guru dan murid akan sama-sama mendapat atau mempelajari sesuatu yang baru dalam setiap proses pengajaran dan pembelajaran. Menurutnya, seorang guru yang sukakan cabaran akan menilai dirinya sendiri sama ada dapat atau tidak mewujudkan suasana yang boleh menarik minat murid dalam setiap satu sesi pengajaran dan pembelajaran.

Guru sering menilai anak didiknya tetapi pernahkah kita menilai diri sendiri? Sedarkah kita sebagai guru yang kerjanya 'mengajar sepanjang hayat' (sebelum bersara wajib) kita telah tidak cukup melakukan satu perkara sepenting ini? Kalau begitu bagaimana kita tahu dan boleh meningkatkan tahap profesionalisme kita?

Menurut L. Dee Fink (1999), tiada seorang pun yang sempurna, maka semua mempunyai ruang untuk penambahbaikan. Kenalpasti aspek dalam pengajaran yang perlu diubah agar menjadi lebih berkesan. "To improve is to change. And to be perfect is to change often", demikian ujar Winston Churchill. Jadi titik tolak bagi melakukan perubahan, dan kemudian mencapai kemahiran dan kesempurnaan memakan masa dan dayausaha. Bagi mencapai perubahan yang berjaya dan berkesan perlukan seseorang itu bukan sahaja menambah pengetahuan dan kemahiran baru malah sering pula memerlukan kita belajar semula sesuatu konsep, kaedah dan teknik yang mungkin kini sudah usang.

Pengalaman berserta beraneka kemahiran yang dititipkan oleh guru menerusi proses pengajaran dan pembelajaran umpamanya bermaksud melalukan perubahan sikap, seterusnya mengubah pemikiran dan paradigma sehingga  terciptalah tangkah-laku yang dihasratkan itu tercapai. Menurut Dee Fink lagi penilaian bagi menghasilkan perubahan ke arah peningkatan  profesionalisme individu seseorang guru itu amat besar faedahnya berdasarkan tiga sebab. Pertama, tanpa mengambil kira bagaimana baik atau buruk kita sebagai guru-guru, kita semua mempunyai potensi, menjadi lebih baik lama-kelamaan. Ini kerana, mengumpul maklumat mengenai pengajaran mereka dan mengambil daya usaha bagi penambahbaikan sesetengah aspek daripadanya - setiap kali mereka mengajar.

Sebab kedua mengapa perlunya membuat penilaian adalah bagi mendokumentasikan kualiti seseorang bagi rujukan pihak lain, yang perlu mengetahui track record seseorang sepanjang kerjayanya. Satu cara sahaja guru-guru boleh membekalkan maklumat seumpama ini iaitu dengan cara  mengumpulnya, dan inilah penilaian. Dengan kaedah ini juga dapat membantu seseorang guru itu memahami keberkesanan pengajarannya dengan lebih baik lagi.

Sebab ketiga pula merupakan satu keperluan yang bersifat peribadi dan keinginan manusia untuk menilai. Hal ini adalah bagi kepuasan mental dan psikologikal diri sendiri. Melakukan sesuatu kerja dengan baik adalah satu perkara; manakala satu perkara lagi dengan memiliki maklumat yang padu, kita tahu kita telah melakukan kerja dengan baik. Pengetahuan dan kepastian ini hanya mungkin jika kita membuat penilaian yang rapi dan telus.

Seperti yang dinyatakan oleh Abraham Lincoln (1809-1865), hanya mereka yang berani mengambil risiko untuk pergi jauh sahaja akan dapat mengetahui tahap pencapaian dirinya sendiri. Oleh itu, dengan adanya sifat sukakan cabaran, terutamanya dalam profesion perguruan, dapat mencabar sejauh mana kemampuan seseorang guru itu untuk menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran sesuatu yang menarik dan sentiasa ditunggu-tunggu oleh murid.

Berjiwa pendidik

Bagi seorang pendidik, tugas mereka bukanlah hanya mengajar kurikulum yang telah disediakan. Menurut Ron Clark (2004), berjiwa pendidik akan dapat mewujudkan persefahaman. Selain daripada memastikan sukatan pelajaran berjaya ditamatkan mengikut ketetapan masa yang dijadualkan, tanggungjawab untuk membimbing para pelajar dengan nilai-nilai murni tidak seharusnya diabaikan. Sebagai guru, seseorang itu perlulah mempunyai sifat suka mengajar atau a love for teaching, iaitu sayangkan pelajar, sayangkan matapelajaran yang diajar, sayangkan kehidupan sebagai guru dan sukakan proses pengajaran dan pembelajaran yang berlaku (Parkay 1990).

Seharusnya, bagi seorang guru yang berjiwa pendidik dan pengajar, tugas mencurahkan ilmu perlulah diperkasakan lagi dengan keazaman untuk memanusiakan pelajarnya dengan nilai-nilai murni yang menjadi teras di dalam kehidupan. Mendepani cabaran 'memanusiakan manusia' bukanlah suatu tugas yang mudah. Guru harus mendidik murid dengan perasaan belas, timbang rasa dan murah hati. Pembangunan modal insan seharusnya bermula daripada peringkat akar umbi lagi. Justeru, dalam usaha 'melentur buluh dari rebungnya', tidak dapat dinafikan bahawa profesion perguruan memainkan peranan yang amat penting.

Namun 'guru' kini sama ertinya dengan 'pengajar' apabila melihatkan realiti profesion perguruan hari ini rata-rata para guru hanya menjalankan tugas sebagai tenaga pengajar, bukannya 'pendidik'. Kurangnya kesedaran terhadap makna dan tugas sebenar seorang guru hanya akan merugikan generasi muda hari ini. Para guru harus punya jati diri yang jitu yang mana akan menzahirkan akhlak yang cantik dan indah yang sememangnya mampu menjadi contoh teladan terbaik kepada murid. Nilai profesionalisme perlu wujud dalam diri seseorang guru yang matlamat pekerjaannya untuk mencapai keberkesanan, produktiviti, kecekapan dan bertanggungjawab. Nilai pada dasarnya bertunjangkan sumber keagamaan, kepercayaan, tradisi dan budaya. Dalam proses pendidikan, nilai-nilai teras adalah sesuatu yang amat penting dididik kepada murid. Nilai-nilai seperti jujur, amanah, ikhlas, bijaksana, adil, telus adalah contoh asas bagaimana membentuk pemikiran, sikap dan amalan dalam hidup. Justeru, apabila nilai-nilai ini dijadikan pedoman ikutan, diserapkan ke dalam proses ilmu, kurikulum dan sukatan atau diolah dalam metodologi yang lebih kreatif, pasti akan mengukuhkan lagi jati diri seseorang (Ron Clark 2004).

Seperti didedahkan di dada-dada akhbar dewasa ini, krisis kelunturan modal insan dalam kalangan para pelajar telah mengakibatkan masalah sosial yang serius seperti pelacuran di kalangan pelajar, gejala buang bayi, kes pukul dan sebagainya. Desakan kehidupan yang penuh kerenah dan tribulasi antara penyebab yang mendorong para pelajar melibatkan diri dalam fenomena tidak sihat ini. Oleh yang demikian, selain daripada ibu bapa, guru adalah individu yang paling rapat yang mampu memberi bimbingan dan dorongan kepada para pelajar. Jika tugas pengajar hanya tertumpu kepada aspek kurikulum semata-mata, pendidik pula perlulah bersedia dengan bidang ilmu yang pelbagai. Sebagai golongan cerdik pandai, para pendidik haruslah mencurahkan ilmu-ilmu mereka dengan segala kudrat yang ada di samping memberi bimbingan dengan penuh dedikasi dan kasih sayang. Kerana itulah, para guru seringkali dianggap sebagai lilin yang sentiasa membakar diri dengan nasihat dan tunjuk ajar penuh hikmah!

Jelaslah, tugas guru bukan hanya pada pembangunan intelektual sahaja, tetapi juga pada aspek kerohanian dan keperibadian para pelajar. Sebagai salah satu usaha untuk menyahut cabaran perdana menteri dalam Rancangan Malaysia ke-9 (RMK9) yang mahukan pembangunan modal insan diberi penekanan serius, para guru haruslah bangkit dengan agenda dan strategi tersendiri dalam menaiktaraf peranan guru agar kerjaya murni mereka mampu melahirkan intelektual yang juga murni dalam aspek keperibadian dan sahsiah.(artikel “Guru mendidik, bukan mengajar“, Mei 2009 Malaysiakini.com)

HASIL DAPATAN KAJIAN

Bagi tujuan mengenalpasti criteria yang perlu ada dalam diri guru KPLI (Kursus Perguruan Lepasan Ijazah), responden dikehendaki menomborkan criteria yang disenaraikan mengikut keutamaan.  Dapatan kajian yang diperolehi adalah seperti yang berikut :



Di dalam kajian yang bertajuk “Mengenalpasti Motif Memilih Profesion Keguruan Di Kalangan Mahasiswa UPM”, Noran Fauziah Yaakub telah membahagikan motif memilih profesion keguruan kepada 5 faktor iaitu faktor altruistik, faktor minat dengan keadaan pekerjaan yang memuaskan, faktor pertimbangan peribadi, faktor pengaruh dan faktor sebab praktikal (Suara Pendidik, 1990). 28 item telah disenaraikan namun didapati lima item utama yang menjadi motif utama Mahasiswa UPM memilih profesion keguruan iaitu profesion ini satu pekerjaan yang mulia (97.6%), menjadi guru memberi peluang kepada saya berkhidmat untuk masyarakat (97.45), saya suka menyampaikan pengetahuan kepada orang lain (97%), saya yakin boleh mendidik generasi muda (95.7%) dan dengan menjadi guru telah memberi kesedaran tentang kebolehan saya dalam mengurus, memimpin dan yakin berucap dihadapan orang lain (92.6%).

Satu kajian telah dilakukan terhadap 100 orang guru-guru wanita Melayu berumur dibawah 30 tahun dan mempunyai pengalaman mengajar kurang dari 10 tahun dan sedang mengajar di beberapa buah sekolah menengah di Lembah Kelang, mendapati bahawa 61% responden menyatakan bahawa matlamat mereka menjadi guru adalah kerana cita-cita dan minat. 28% sahaja responden memilih kerjaya guru itu sebagai pilihan kedua kerjaya mereka dan 9% disebabkan oleh pengaruh kawan atau keluarga dan 2% sebab–sebab lain seperti keadaan fizikal, tempat kerja, pekerjaan suami dan sebagainya (Md Ali Hassan, 2003).

Oleh yang demikian, jika dianalisa secara purata, jelas menunjukkan terdapat dua isu utama yang menyebabkan kerjaya guru menjadi pilihan iaitu memang kerana sifat berjiwa pendidik dan minat serta pilihan kerjaya kedua.

Mewujudkan Guru Yang Berkualiti

Perkembangan profesionalisme pendidikan guru sebelum dan selepas tahun 2000 kelihatan berjalan dengan lancar walaupun beberapa halangan yang terpaksa dihadapi. Antaranya ialah masalah penempatan guru-guru di sekolah luar bandar, kekurangan guru dalam mata pelajaran Fizik, Kimia dan juga bahasa Inggeris, kemudahan asas yang terhad seperti kekurangan bilik darjah di sekolah-sekolah tertentu, penggunaan komputer dalam pembelajaran dan akhir-akhir ini perubahan kurikulum pendekatan pengajaran dalam bahasa Inggeris untuk mata pelajaran Matematik dan Sains. Namun cabaran dan masalah ini dapat diatasi oleh pihak kerajaan secara beransur-ansur dan guru-guru sendiri.

Kekurangan guru dalam mata pelajaran tertentu nampaknya telah diatasi oleh universiti-universiti yang ada menyediakan Fakulti Pendidikan. Pada masa ini nampaknya guru-guru tidak kira sama ada lepasan Diploma mahupun Ijazah telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam menjalankan tugas. Inilah yang dikehendaki oleh negara kita dalam menempoh era teknologi, globalisasi dan liberalisasi. Untuk menempuh cabaran ini, bukan pelajar sahaja yang patut dibekal dengan pengetahuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) tetapi guru-guru juga perlu mengisikan pengetahuan ini secepat yang mungkin.

Isu-isu kecemerlangan akademik amt diutamakan pada era moden ini.  Lantaran itu, guru tidak terlepas dari kritikan masyarakat sekiranya mereka tidak dapat menghasilkan keputusan peperiksaan yang baik di kalangan pelajar. Jadi untuk mewujudkan guru-guru yang betul-betul berkualiti bukan mudah di mana banyak perkara yang diberi perhatian oleh pihak pengurusan sekolah dan guru-guru. Jadi dalam hal ini, pihak pengetua mesti tegas dan perlu mengawal keseimbangan di antara kepentingan kepemimpinan pengajaran dan pengurusan. Gaya kepemimpinan pengajaran yang baik membolehkan guru-guru dapat mengaplikasikan di dalam pengurusan kelas dan hubungan dengan pelajar. Jadi pengetua yang mengambil berat dalam aspek pengajaran, biasanya selalu membuat penyeliaan serta penilaian ke atas guru-guru atau meminta guru-guru menyatakan masalah yang dihadapi semasa mengajar di dalam bilik darjah (Mohd Salleh Lebar, 2000).

Walau bagaimanapun guru sebagai pemegang watak yang penting dalam proses pembelajaran perlu mempunyai ciri-ciri lain untuk menjadikan guru yang berkualiti. Ciri-ciri lain perlu diperkukuhkan, antaranya ialah : 

• Bijak
• Pembentukan sikap yang baik
• Rajin berkerja
• Sabar

Guru mesti cinta kepada profesion perguruan dan sanggup berkhidmat di mana-mana sahaja.  Sabar juga penting kerana dalam proses pengajaran. Dalam masa mengajar, guru terpaksa berdepan dengan pelbagai kerenah pelajar, menghadapai pelajar yang lemah, kemudahan yang tidak mencukupi dan suasana pembelajaran yang tidak mengizinkan. Namun begitu sekiranya seseorang guru itu mempunyai tahap kreativiti yang tinggi dalam mewujudkan suasana pembelajaran yang positif maka ia dianggap guru itu berkualiti.

Dari segi tanggungjawab, guru merupakan golongan profesional kerana profesion ini lebih mementingkan perkhidmatan daripada ganjaran kewangan dan merasa bertanggungjawab dalam semua tindakan dan keputusan yang dibuat (Sufean, 1993). Guru yang berkualiti terdiri daripada mereka yang memiliki kriteria tertentu seperti keikhlasan, keazaman, kreativiti, dedikasi dan komited terhadap tugas dan tanggungjawab. Guru bukan sahaja menjadi pendidik dan pengasas kepada pengetahuan pelajar-pelajar tetapi juga menjadi pemimpin, penasihat dan agen perubahan dalam masyarakat. Sepanjang menjalankan tugas, matlamat guru adalah luhur demi memajukan pelajar, masyarakat dan negara. Dalam suasana dunia pendidikan yang begitu mencabar, guru dianggap sebagai pemimpin profesional. Profesion keguruan yang dibincangkan dalam kajian ini menjurus kepada skop tentang urusan pekerjaan pendidikan yang formal dan mempunyai kaitan langsung dengan guru-guru pelatih sahaja.

KESIMPULAN

Pemilihan guru KPLI (Kursus Perguruan Lepasan Ijazah) yang berkualiti merupakan satu proses yang penting dalam dunia pendidikan. Bakal guru yang dipilih seharusnya memiliki kemampuan dan keberhasilan dalam melaksanakan tugas, memiliki keperibadian yang selaras dengan tuntutan kemajuanprofesion guru.  Mereka juga perlu memiliki wawasan kependidikan yang luas sehingga secara nyata mampu meningkatkan mutu proses dan hasil pembelajaran.  Guru KPLI (Kursus Perguruan Lepasan Ijazah) seharusnya berjiwa pendidik dan bersedia berhadapan dengan murid zaman sekarang yang berupaya mendidik murid dengan sikap penyayang.

Peranan dan tanggungjawab guru sememangnya memberi impak yang besar dan mendalam dalam diri setiap individu itu. Dari kecil hinggalah menjawat jawatan yang hebat, semua itu adalah hasil ajaran dan didikan guru di sekolah. Tahap pemikiran guru akan menentu dan memainkan peranan penting yang konstruktif dalam pendidikan guru dan pelajar pada masa hadapan.

Bertitik tolak daripada kenyataan ini, ternyata guru berperanan besar merealisasikan perlaksanaan kurikulum di sekolah. Seorang guru terdapat beberapa elemen penting profesionalisme keguruan yang memerlukan penghayatan melaksanakan kurikulum. Elemen-elemen ini boleh dikesan terjemahan daripada kepercayaan, nilai dan sikap guru sewaktu menyebarkan kurikulum dalam pengajaran di bilik darjah. Hal ini disahkan lagi tertakluk kepada kekangan dan peluang yang tersedia semasa guru- guru ini berusaha menterjemah kurikulum di bilik darjah. Ternyata guru-guru masa kini perlu mempunyai secukupnya elemen dan aspek kefahaman tentang profesionalisme keguruan terhadap kurikulum dan pengajaran di bilik darjah. Ini bertujuan agar kekangan dapat dikurangkan dan peluang dapat digunakan bagi memaksimakan pengajaran, mengembang potensi insan dan meningkatkan tahap profesionalisme keguruan itu sekaligus.

Profesion guru dikatakan amat ‘tenat’ dan guru sedang menghadapi tekanan tugas yang amat berat. Sering didedahkan dengan laporan tentang segelintir guru merokok, guru tidak cergas, guru tidur dalam kelas, guru selalu datang lewat ke sekolah dan guru mengajar sekadar melepas batuk di tangga. Keupayaan guru mengajar diragui. Lebih merisaukan kedapatan laporan sekolah yang mempersoalkan kewibawaan guru-guru pelatih sewaktu menjalani Praktikum atau Latihan Mengajar di sekolah. Juga kedapatan guru-guru yang merungut diminta mengajar mata pelajaran yang bukan opsyen pengajian diri. Pelajar-pelajar yang mengambil program pendidikan di IPTA, khususnya juga dipersoalkan kemurniaan niat dan cita-cita kerjaya diri. Adakah pelajar menjadi pendidik sebagai pilihan terakhir kelayakan yang ada atau menyahut kemerunduman ekonomi semasa? Timbul semacam sewaku kekalutan terhadap profesion ini ketika ini. Adakah profesion keguruan ini sedang menghadapi ‘krisis identiti’ profesionalisme dan semakin terhakis kepercayaan masyarakat terhadap profesion ini?

Dunia hari ini semakin maju dan bergerak pantas seiring dengan era ledakan maklumat ini, guru tidak terkecuali merasai tempiasnya.  Peranan dan tanggungjawab yang digalas oleh guru semakin mencabar seiring kehendak kerajaan yang kita sedia maklum.  Sejajar dengan ini, guru-guru yang telah menjalani satu tempoh latihan yang mencukupi, memperoleh ilmu pengetahuan yang mencukupi dan berdedikasi melaksanakan tugas patut menyedari tuntutan profesional profesion ini. Guru harus sedar akan perubahan peranan, keadaan yang memerlukan reformasi dan etika komuniti dalam masyarakat kontemporari. Guru yang dapat membawa diri ke tahap professional, kemungkinan besar menikmati tahap kejayaan yang lebih baik dan hasrat profesion akan lebih tersusun dan teratur.

Selain itu, guru seharusnya sentiasa mengemaskini perkembangan pendidikan diri dengan bacaan dan inkuiri diri yang meluas terutama bidang kepakaran masing-masing. Guru juga disarankan mengamalkan ciri-ciri penyelidikan profesion yang sentiasa berkembang. Penyelidikan membawa kepada inovasi dalam pendidikan diri seorang profesional. Guru perlu menganjak dan merubah paradigma melalui amalan penyelidikan yang kukuh. Guru bersikap terbuka dan tidak mempunyai tanggapan yang menyulitkan tentang sebab-sebab dan hubungan sebab-musabab melaksanakan tugas ini. 


Bibliografi

Atan Long (1976).  Psikologi Pendidikan.  Kuala Lumpur :  Dewan Bahasa   dan Pustaka.
Bontempo, B. T & Digman, S. 1985. Entry level profile: student attitudes towards teaching
profession. ERIC. ED 258 949.

Brown, M.M 1992. Caribbean first-year teachers’ reasons for choosing teaching as a
career. Journal of Education for Teaching 18 (2) : 185-195.

Elaine, McEwan (1998-2001). Ten Traits of Highly Effective Teachers, McEwan-Adwin Groups. http://www.elainemcewan.com/ten_traits_teachers.htm  30.09.2001

Chuen, K, Luben, F & Newson, G. 1999. The views of pre-service and novice teachers
on mathematics teaching in South Africa related to their educational experience.
Educational Research 41 (1) : 23-34.

Ethington, C. 1988. Women’s selection of undergraduate fields of study: Direct and
indirect influences. American Educational Research Journal 25 : 157-175.

Evans, H. 1993. The choice teaching as a career. Social and Economics Studies 42
(2&3) : 225-242.

Fink, L.Dee (1999). Evaluating Your Own Teaching. Terbit dalam Improving College Teaching oleh Peter Seldin (ed.). University of Oklahoma Instructional Development Program, July 20, 1999.

Hutchinson, G. E & Buschner, C. A. 1996. Delayed entry undergraduates in Physical
Education teacher education: Examining life experiences and career choice. Journal
of Teaching in Physical Education 15 : 205-223.




Jantzen, J.M. 1981. Why college students choose to teach: A longitudinal study. Journal
of Teacher Education 32 (2) : 45-48.

Kementerian Pendidikan Malaysia. (2001). Pelan Pembangunan Pendidikan
2001- 2010: Perancangan bersepadu penjana kecemerlangan pendidikan.
Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia.

Mahathir Mohammed. 2001. Malaysia: The way forward. Kuala Lumpur: Malaysia
Business Council.

Marshal, D.G. 1986. Student teacher motivations for choosing teaching as a career.
Teacher Education 29 : 75-83.

Muhamad Sani et al. 2002. Motif pemilihan profesion perguruan. Prosiding Seminar
Kebangsaan Profesion Perguruan 350-362.

Musak Mantrak. 1993. Moral values in the Malaysian Integrated Secondary School Curriculum:
A survey on the teachers’ perceptions and abilities. Doctor of Education
Thesis. The University of South Dakota.

Musak Mantrak. 1995. Ke arah meningkatkan martabat pendidikan abad ke-21: Cabaran,
hakikat dan harapan. Prosiding Seminar JKLJAU Ke-9.

Parkay, F.W. 1995. Becoming a teacher. Washington State University:Allyn and Bacon.

Reid, I. & Caudwell, J. 1997. Why did secondary PGCE students choose teaching as a
career? Research in Education 58 : 46-58.

Ron Clark. 2004. The Excellent Eleven. New York:Hyperion.

Saedah, Zainun, Tunku Mohani (1996).  Motivasi Dalam Pendidikan.
         
Kuala  Lumpur : Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd..

Straker, N.1988. Attitudes of initial trainees to a career in mathematics teaching. School
Organisation 8 (30) : 261-269

Subramaniam, S. 1995. Usaha untuk meningkat profesion keguruan. Paper presented
at the National Seminar on Teacher Education, UTM, Johor, Malaysia at 18-19
December.

Sufean Hussain (1993). Pendidikan di Malaysia : Sejarah, Sistem dan
         Falsafah.  Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka

Thomas, K.R. 1984. Occupational status and prestige. Vocational Guidance Quarterly
33 : 70-75.

Utusan Online, Arkib 18.1.2007 Pendidikan: Kurikulum IPG digubal.

Yong, B.C.S. 1994. Factors determine the attractiveness of the teaching profession
in Brunei Darusalam as perceived by teacher trainees. Journal of Education for
Teaching 20 (1) : 113-125.